Samsudin dan 55 ketua cawangan UMNO Bahagian Batu Sapi keluar UMNO

Radhi Muslim
Disember 11, 2018 17:18 MYT
Tindakan itu kata Samsudin dilakukan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan UMNO bahagian itu yang baharu.
Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya dan 55 Ketua Cawangan UMNO bahagian itu mengumumkan keluar UMNO petang Selasa.
Tindakan itu kata Samsudin dilakukan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan baharu UMNO bahagian itu.
"Kita melihat, UMNO Bahagian Batu Sapi kurang memperjuangkan nasib rakyat Batu Sapi ketika ini.
"Ada kejadian kebakaran, mereka tidak bantu mangsa," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Samsudin berkata, dia juga tidak tahu ke mana hala tuju karier politiknya selepas ini dan akan mengikuti langkah Datuk Seri Hajiji Noor.
Terdahulu, Samsudin gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dimenangi calon WARISAN, Arifin Asgali yang mendapat 6,470 undi berbanding Samsudin hanya memperolehi 4,705 undi.
Samsudin adalah pemimpin UMNO ketujuh di negeri ini yang mengumumkan keluar parti.
Pada 19 September lalu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO dengan alasan pernah berjanji kepada pengundi bahawa beliau akan meletak jawatan dalam parti sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
Sebelum itu, bekas Ketua Bahagian UMNO Beluran, Datuk James Ratib mengambil keputusan menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan menyokong pakatan Warisan bersama Pakatan Harapan (PH), 16 Mei lalu.
Pada 11 Mei, empat pemimpin UMNO membabitkan ADUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho, Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong) keluar UMNO dan menyertai WARISAN untuk membentuk kerajaan negeri,
Sejak semalam juga, sebuah portal berita menulis entri berhubung empat ahli parlimen UMNO dari Sabah dilaporkan akan mengumumkan keluar parti hari ini.
Empat wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee menurut laporan portal berita berkenaan.
#Anifah Aman #Azizah #Barisan Nasional #kebakaran #kerajaan #majlis tertinggi #mangsa #Pakatan Harapan #Parlimen #Perjanjian Malaysia 1963 #pilihan raya #pilihan raya umum #Samsudin Yahya #UMNO
;