Sami dan paderi pun tak setuju aktiviti tidak berakhlak - Hadi Awang
Astro Awani
Oktober 14, 2014 14:43 MYT
Oktober 14, 2014 14:43 MYT
Kawalan ketat ke atas “aktiviti tidak berakhlak” tidak kira untuk apa agama sekalipun perlu dilaksanakan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
The Malaysian Indsider melaporkan Abdul Hadi dipetik sebagai berkata agama Islam dan agama lain tidak membenarkan penganutnya berfoya-foya.
Abdul Hadi membuat kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada penganjuran Oktoberfest baru-baru ini di Selangor yang menimbulkan kontroversi.
“Tanya sami, tanya paderi, saya rasa mereka pun tidak bersetuju. Sebab itu perlu tapis.
"Saya rasa semua agama tidak bersetuju dengan perkara tidak berakhlak ini," Abdul Hadi dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.
Katanya, biarpun penganut agama lain dibenarkan meminum arak, mereka perlu mempertimbangkan sensitiviti penganut agama Islam.
"Kemudian dalam perkara diizinkan mengikut agama dia, maka kawalan perlu dibuat supaya jangan sentuh sentiviti penganut agama Islam dan agama lain yang tidak bersetuju dalam perkara sama.
"Ini perlu ada kawalan," The Malaysian Insider memetik kata-kata Abdul Hadi di program “Sembang Santai Tok Guru” di Gombak, Selangor malam tadi.
Islam kata Abdul Hadi menghormati penganut agama lain untuk meminum arak, tetapi perlu ada syarat tertentu seperti tidak boleh menjualnya kepada penganut agamanya.
"Dalam pemerintahan Islam, kita beri hak kebebasan beragama dan kita tidak boleh halang perkara yang diizinkan agama mereka.
"Pendekatan semasa kita perintah Kelantan dan Terengganu, kita beri lesen kepada bukan Islam untuk jual arak dengan syarat dia jual arak sesama mereka dan bukan kepada orang Islam," katanya.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad dan Ketua Penerangan PAS Selangor Mohd Zaidy Abdul Talib turut hadir di majlis tersebut.
Iskandar dan Mohd Zaidy merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerajaan Selangor yang baru dilantik selepas Mohamad Azmin Ali dipilih menjadi Menteri Besar yang baharu.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai penganjuran Oktoberfest, Iskandar menjelaskan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor tidak meluluskan pesta tersebut seperti didakwa.
"Kami tidak pernah luluskan pesta tersebut," katanya pada majlis tersebut.
Pesta kontroversi yang dikenali sebagai Oktoberfest bermula sejak 24 September lalu dan kemuncak acara itu diadakan hujung minggu ini.
Penganjuran Oktoberfest ini dibantah keras oleh Dewan Ulama PAS namun sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat, DAP memberi sokongan kepada pesta tersebut.