Sambutan 25 Tahun PKR berkonsep mesra rakyat, bertemu pemimpin lebih dekat

Bernama
Mei 11, 2024 23:15 MYT
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) bergambar kenangan dengan orang ramai ketika hadir di Karnival Sambutan 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sentul Depot hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kehadiran hampir 10,000 pengunjung memeriahkan acara Sambutan 25 Tahun PKR di Depot Sentul di sini sejak pagi tadi.
Pengarah acara itu Wong Chen berkata majlis pada hari ini yang berkonsepkan mesra rakyat membolehkan pengunjung bertemu pemimpin parti itu dengan lebih dekat.
"Presiden PKR (yang juga Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang meminta program ini dijalankan secara terbuka. Seperti kita tahu rakyat lebih suka program yang ada pasar sementara (pop up market).
"Hari ini juga ada kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang Jaya berkata terdapat dua sesi diadakan pada hari ini iaitu 'Pop Up Market' untuk sesi pagi dan kehadiran kepimpinan tertinggi pada sesi malam.
Sementara itu, pengunjung yang juga ahli PKR Teoh Geok Chor berkata program hari ini sangat memudahkan rakyat dengan pameran dan gerai yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan jualan.
"Saya datang dari Bagan, Pulai Pinang sejak awal pagi tadi. Semuanya sangat baik. Ada gerai makan dan kaunter trafik PDRM dan saya baru sahaja selesai bayar saman," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Dekyah Masmaria Wahab berkata pendekatan sambutan itu seiring dengan sifat Perdana Menteri yang sentiasa bersatu hati bersama masyarakat.
"PM (Anwar) kita memang dekat dengan rakyat. Sentiasa bersikap sederhana (low profile) dan tidak memburuk-burukkan parti lain," katanya.
Selain Anwar, turut hadir malam ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Hadir sama Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta Naib Presiden Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad, Aminuddin Harun, Nurul Izzah Anwar, Saraswathy Kandasami dan Awang Husaini Sahari, selain Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.
Malam sambutan ulang tahun PKR itu ialah acara kemuncak bagi meraikan ulang tahun ke-25 parti tersebut dan pada 21 April lepas telah berlangsung Konvesyen Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor.
-- BERNAMA
#Sambutan 25 Tahun PKR #mesra rakyat #pemimpin #Wong Chen
;