Saman saja 'pengkhianat' yang tinggalkan UMNO - Asyraf Wajdi

Firdaus Azil
September 29, 2018 11:40 MYT
Asyraf Wajdi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. --fotoBERNAMA
Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kepimpinan untuk mengambil tindakan terhadap petualang yang mengkhianati dan meninggalkan parti itu, kata Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu termasuk mengambil jalan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini.
“Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita di kala UMNO dilanda badai, kononnya lompat kerana prinsip perjuangan. Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang. Kami tahu sebab-sebabnya.
“Ingatlah, UMNO yang kalian sisihkan inilah, yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak.
“Ingatlah jerit perih Wanita yang setia memerah keringat turun naik dari rumah ke rumah, Puteri-puteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah hanya untuk memenangkan kalian,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
BACA: Saya khuatir ramai lagi keluar UMNO - Khairy
BACA: Tindakan keluar UMNO mendukacitakan - Mohamad Hasan
Berucap di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan Pemuda, beliau berkata, agak menyedihkan melihat kalangan pemimpin UMNO sendiri yang mula rasa bersalah atau 'apologetic' apabila berbicara mengenai agenda Agama dan Bangsa.
Katanya lagi, tidak ada sebab untuk berbuat demikian memandangkan UMNO sebagai parti tonggak Barisan Nasional sentiasa memastikan hak selain Melayu dan Bumiputera turut terpelihara selari dengan Perlembagan Persekutuan.
“Persoalannya, kenapa kita perlu rasa malu dan bersalah dengan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera? Seolah-olah memperjuangkan Bangsa dan Agama sebagaimana yang terpateri dalam Perlembagaan ini suatu yang hina dan rasis.
“Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan mereka, sehingga kadangkala melangkaui batas Perlembagaan tidak pula dianggap rasis bahkan dijustifikasi pula atas nama hak asasi,” tegasnya lagi.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Bumiputera #Islam #Mohamad Hasan #Pemuda UMNO #Perdana Menteri #perhimpunan #PWTC #UMNO #UMNO 2018
;