Samakan Pulau Pinang dengan Palestin: Tuduhan Pas liar, tidak berasas- Ketua Menteri
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 16, 2023 14:43 MYT
Jun 16, 2023 14:43 MYT
GEORGE TOWN: Tindakan Pas menyamakan kehilangan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang dengan kehilangan tanah penduduk Palestin kepada Israel adalah satu tuduhan liar dan tidak berasas.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sudah semestinya apa yang didakwa Pas itu tidak benar sama sekali.
Malah Kon Yeow berkata, pengiraan statistik berkaitan pemilikan tanah di negeri itu juga dibuat tanpa mengikut kaum.
"Semestinya tidak betul, satu tuduhan yang liar, yang tak berasas. Kita kadangkala tidak simpan statistik mengikut kaum pun, khususnya pemilikan tanah," katanya.
Kon Yeow berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di George Town pada Jumaat.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan Pas membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehinggalah rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.
Artikel itu mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus.
Parti itu mendakwa Pulau Pinang membuat “rampasan secara sistematik” dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya milik majoriti Melayu-Islam.