Salah guna media sosial: Perkasa cabar kerajaan segera pinda Akta Hasutan

Irwan Muhammad Zain
Ogos 11, 2014 13:10 MYT
Salah guna media sosial: Perkasa cabar kerajaan segera pinda Akta Hasutan
Kerajaan perlu segera meminda undang-undang bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap penghinaan agama dan hasutan di media sosial, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya menyambut baik kesediaan kerajaan mahu meminda undang-undang itu tetapi dalam masa yang sama berharap ia bukan sekadar kata-kata bermusim.
“Saranan dan cabaran PERKASA ialah buat, laksana dengan tegas dan jangan cakap saja.
“Bila tiba mesyuarat Umno akan kedengaran hebatlah perjuangan membela Melayu dan Islam, apatah lagi jika musim pemilihan, tetapi selepas itu senyap.
"Bantai pula NGO Melayu atau sesiapa yang bersuara lantang membela Melayu dan Islam. Menjauhkan diri dan tidak mahu kelihatan bersama dengan kumpulan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, sebelum ini mudah bagi pihak keselamatan bertindak kerana adanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Cegah sebelum musnah. Kalau pemimpin UMNO dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan 1946,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata, bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebarkan hasutan, kerajaan bersedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dipertanggungjawab dalam soal multimedia manakala Jabatan Peguam Negara melihat dari segi perundangan jika Akta Hasutan dan akta lain perlu diperkukuhkan.
#akta hasutan #Ibrahim Ali #PERKASA
;