Salah guna kuasa wujud di Malaysia - Dr Mahathir

Fauzi Suhaimi
Januari 2, 2021 17:36 MYT
Dr Mahathir berkata, terdapat khabar angin yang mendakwa wujudnya penyalahgunaan kuasa di negara ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, banyak kes membabitkan penyalahgunaan kuasa wujud di negara luar sehingga menyebabkan kematian.
Meskipun kejadian itu tidak berlaku di Malaysia, namun, Dr Mahathir berkata, terdapat khabar angin yang mendakwa wujudnya penyalahgunaan kuasa di negara ini.
Katanya, beberapa isu melibatkan penahanan tanpa tuduhan dalam tempoh jangka masa tertentu seolah-olah tidak menunjukkan kerajaan mengamalkan prinsip 'Rule of Law'.
"Ada kes (melibatkan) Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Sabah dan beberapa rakannya. Mereka ditangkap, ditahan selama lapan hari, perlu memakai baju oren dan 'dibuang' ke dalam sel tanpa tempat tidur. Setakat ini, tiada tuduhan dibuat terhadap mereka.
"Kemudian ada desas-desus bahawa seorang lelaki menyerbu pejabatnya dan failnya disita. Dia ditahan dan 'dilemparkan' ke dalam sel selama lima hari. Mengapa dia ditangkap juga tidak diketahui.
"Khabar angin lain adalah mengenai seorang lelaki yang direman lebih dari dua tahun tanpa dikenakan sebarang tuduhan. Nampaknya ada orang berkuasa memerintahkan penahanannya.
"Selain itu, seorang wanita lain juga ditahan di sel gelap, juga tanpa tuduhan yang jelas," katanya menerusi satu catatan di laman blognya Chedet.com di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan undang-undang termasuk pihak berkuasa.
Tegasnya, tidak ada seorang pun yang boleh bertindak melebihi batas undang-undang meskipun mempunyai jawatan atau kedudukan tertinggi dalam negara.
"Inilah Malaysia di mana kita mempercayai peraturan undang-undang. Khabar angin ini dilihat bertentangan dengan peraturan undang-undang sekiranya benar.
"Ini adalah kisah-kisah yang menakutkan dan saya harap perkara itu tidak benar. Saya tidak mempunyai bukti untuk menunjukkan perkara itu benar, tetapi khabar angin itu terus berleluasa.
"Mereka beritahu saya untuk tidak mengatakan apa-apa. Ia boleh menyakitkan hati saya. Tetapi ini bukan Amerika Syarikat (AS). Inilah Malaysia. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku.
"Kami lihat penyalahgunaan undang-undang oleh pihak berkuasa (dan) sudah tiba masanya mereka berhenti," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat di negara ini wajar mengecapi keamanan dengan meletakkan kepercayaan tinggi terhadap undang-undang sedia ada.
#Mahathir Mohamad #Shafie Apdal #Mohd Shafie Apdal #Amerika Syarikat #undang-undang #Malaysia #Prinsip Rule of Law #penyalahgunaan kuasa #penahanan tanpa tuduhan
;