A Sakthivel Kekal S.U. Agung MIC; S. Vell Paari Bendahari Agung baharu
Bernama
Januari 5, 2016 23:43 MYT
Januari 5, 2016 23:43 MYT
S. Vell Paari, anak bekas presiden MIC, Datuk S. Samy Vellu dilantik sebagai Bendahari Agung MIC yang baharu, manakala A.Sakthivel dikekalkan sebagai Setiausaha Agung parti itu.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pelantikan Vell Paari berkuat kuasa mulai 1 April depan.
Antara tujuh anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) yang baharu adalah Datuk T Murugiah, yang merupakan bekas anggota PPP dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Murugiah menyertai MIC pada Ogos 2010.
Yang lain terdiri daripada anak bekas timbalan presiden MIC Tan Sri S.Subramaniam iaitu S. Sunther; Ketua Bahagian Kota Raja Datuk R.S Maniam; Ketua Bahagian Kelana Jaya Datuk S. M Muthu; Ketua Bahagian Sepang V Gunalan; Ketua Bahagian Ampang S. Kalimuthu dan Ketua Bahagian MIC Subang N.R Krishnan.
Dr Subramaniam mengumumkan senarai nama-nama itu selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di sini hari ini.
"Pelantikan kesemua tujuh anggota baharu CWC ini berkuatkuasa serta merta," katanya.
Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan berkata pelantikan itu berdasarkan haknya sebagai presiden untuk melantik sembilan anggota biasa CWC.
Sebelum ini, dua lagi anggota CWC iaitu bekas naib presiden MIC Datuk M Saravanan dan bekas ketua penerangan parti, Datuk V S Mogan dilantik oleh Dr Subramaniam.
Katanya, dengan pemilihan ini, jumlah anggota CWC parti itu kini seramai 45 orang.
Menyentuh mengenai mesyuarat hari ini, Dr Subramaniam berkata ia membincangkan mengenai transformasi MIC serta program-program yang akan dijalankan sepanjang tahun ini.
Ini termasuk usaha untuk melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 usahawan dalam kalangan masyarakat India.