Saiz Kabinet patut kecil, pamer kewibawaan - Penganalisis

Astro Awani
Ogos 26, 2021 17:18 MYT
Menurut Sivamurugan Pandian, Kabinet yang bakal dibentuk seharusnya memberi perhatian kepada pengurusan krisis dan menangani isu besar negara. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Saiz Kabinet yang bakal dibentuk sepatutnya kecil dan mempamerkan kewibawaan sera ketokohan yang dibawa bersama kepakaran pemimpin berkenaan.
Penganalisis politik, Profesor Sivamurugan Pandian berkata, Jemaah Menteri yang kecil tidak mustahil untuk dibentuk sekiranya semua ahli yang menganggotai memiliki keazaman politik untuk memenuhi keperluan rakyat.
Bagaimanapun, tegas Sivamurugan, saiz Kabinet pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga tidak menunjukkan perbezaan yang besar.
"Kita melihat bahawa perlu ada keazaman politik untuk memenuhi keperluan rakyat daripada keperluan politik. Jika itu tidak dapat dilakukan, maka saiz Kabinet yang lebih kecil dapat dibentuk.
"Itu akan memberikan cerminan ke atas penjenamaan dan juga pemasaran yang cuba dilakukan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Tetapi mampukah beliau melakukan itu? Saya rasa banyak bergantung kepada sejauh mana beliau melihat kepentingan angka 114 dari permintaan di luar yang mahu melihat ia dikecilkan dan memberi tumpuan kepada mengurus krisis," katanya dalam sidang video pada Khamis.
BACA: 'Dengar nasihat pakar' antara saranan pemerhati kerajaan baharu
BACA: Kabinet baharu: Muka lama yang gagal, liabiliti harus digugurkan - Penganalisis
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, Kabinet yang bakal dibentuk seharusnya memberi perhatian kepada pengurusan krisis dan menangani isu besar negara.
Ismail Sabri kini dikatakan berhadapan cabaran besar khususnya dalam pembentukan Kabinet dengan keadaan perlu 'mengambil hati' rakan parti lain melalui gabungan Perikatan Nasional (PN).
Walaupun dikatakan hanya pembentukan Kabinet kecil diperlukan, namun dalam masa sama, Ahli Parlimen Bera itu pastinya berdepan dilema kerana harus memenuhi permintaan parti gabungan dalam PN.
Dalam perkembangan berasingan, Sivamurugan berpendapat, Majlis Pemulihan Negara (MPN) boleh mengambil model Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada tahun 1969 yang mewakili semua parti politik, pemimpin dari pelbagai organisasi, kepakaran serta tokoh akademik.
Katanya, saiznya juga mesti bersifat rasional dan praktikal selain bakal menghasilkan jalan penyesaian yang menang-menang.
"Masing-masing yang mempunyai cara penyelesaian sendiri boleh digabungkan dan melahirkan satu solidariti gabungan kepada pelan pemulihan.
"Saya rasakan sepatutnya 50 peratus wakil kerajaan, 50 peratus wakil pembangkang. Keseimbangan yang setara itu mengelak daripad berlaku politiking di dalam MPN tetapi memberikan tumpuan kepada usaha mencapai sasaran pemulihan dari sudut kesihatan, ekonomi, keselamatan dan perpaduan serta pendidikan.
"Jika itu dapat dilakukan, saya percaya, kita tidak akan dapat melihat politiking yang terlalu besar di dalam jawatankuasa tersebut," katanya.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ahad lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Dalam pada itu, Sivamurugan berpendapat, tawaran Ismail Sabri itu sekali gus akan menjadi kontrak baharu kepada politik negara yang mahu dilihat rakyat.
Kata beliau, pendekatan Perdana Menteri itu juga akan menjadi titik tolak sejauh mana pemimpin politik mahu berkompromi semata-mata demi negara dan rakyat.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #MAGERAN #Majlis Pemulihan Negara
;