Saifuddin telah hantar dua surat kepada UMNO

Astro Awani
Oktober 3, 2015 09:47 MYT
Saifudin juga bertanya sama ada kes terbabit telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO kerana surat tunjuk sebab terbabit datangnya dari ibu pejabat UMNO dan bukannya dari Lembaga Disiplin parti. - Gambar Fail
Datuk Saifuddin Abdullah telah menghantar dua surat kepada UMNO bagi membalas surat tunjuk sebab yang dikemukakan parti itu berikutan kehadirannya pada perbincangan meja bulat pembangkang dalam pembentukan Pakatan Harapan bulan lalu.
Surat pertama adalah dari peguam Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global yang meminta penjelasan berkenaan surat tunjuk sebab terhadap Saifuddin sama ada ia adalah dalam kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan itu atau anggota UMNO.
Sekiranya dalam kapasiti sebagai ketua pegawai eksekutif, yayasan itu ingin mengetahui sama ada ia turut terbabit.
Surat jawapan kedua, adalah dari Saifuddin sendiri yang meminta penjelasan ke atas tiga perkara.
Pertama mengenai surat tunjuk sebab sama ada ia ditujukan kepada beliau sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global atau sebagai anggota UMNO.
Saiffudin juga bertanya sama ada kes terbabit telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO kerana surat tunjuk sebab terbabit datangnya dari ibu pejabat UMNO dan bukannya dari Lembaga Disiplin parti.
"Surat tunjuk sebab itu tidak jelas. Kerana ia hanya menyebut tindakan disiplin boleh diambil terhadap saya, saya bertanya atas kesalahan apa dan di bawah seksyen berapa perlembagaan parti yang saya didakwa telah melanggar," kata bekas timbalan menteri itu kepada The Star.
BACA: 'Saya tunggu ilham jawab surat tunjuk sebab' - Saifuddin
BACA: 'Jangan mudaratkan UMNO jika terlibat program pembangkang' - Reezal Merican
BACA: 'Saifuddin tidak lakukan sebarang kesalahan' - Megat Najmuddin
Kedua-dua surat itu telah dihantar pada petang Jumaat.
Selain itu, Saifuddin berkata beliau terkejut menerima surat terbabit dan menolak dakwaan bahawa dia berada di perbincangan itu atas alasan untuk mengintip.
"Saya berada di sana atas tujuan politik yang lebih besar. Saya percaya kepada perbincangan dengan semua pihak," katanya lagi.
Saifuddin, yang juga bekas ahli Parlimen Temerloh, hadir ke persidangan tersebut pada 22 September lalu bagi mewakili Akademi Belia iaitu sebuah badan bukan kerajaan.
#Saifuddin Abdullah #temerloh #UMNO #Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global
;