Saifuddin Nasution tawar diri tanding Timbalan Presiden PKR
Wana Abd Rahman
April 1, 2022 14:00 MYT
April 1, 2022 14:00 MYT
KOTA BHARU: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR nanti.
Hasratnya itu disampaikan sewaktu menyampaikan perutusan khas di Mesyuarat Agung Cabang Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Kelantan di sini hari ini.
"Sehubungan harapan itu dengan penuh keinsafan dan rendah diri saya Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pada hari ini bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Keadilan, pada pemilihan parti kali ini," katanya.
Saifuddin mengemukakan alasan untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu atas alasan antaranya bersandarkan pengalaman dan ketaatannya kepada pimpinan dan perjuangan parti selama hampir 23 tahun.
"Presiden kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana sebelumnya membantu Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiapkan parti menghadapi pilihanr aya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya," jelasnya.
Pada ucapannya beliau turut mengalu-alukan pengumuman Rafizi Ramli yang turut bersaing merebut jawatan berkenaan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan Mesyuarat Agung tersebut.
Untuk rekod, Saifuddin dan Rafizi sebelum ini pernah bertanding jawatan itu, masing-masing pada 2014 dan 2018 namun mereka berdua tewas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali.