Saifuddin dilantik Pengerusi PH Kedah yang baharu
Abd Hadi Che Awang
Februari 11, 2025 07:30 MYT
Februari 11, 2025 07:30 MYT
Saifuddin mengesahkan beliau telah dilantik menjadi Pengerusi PH Kedah berkuat kuasa 7 Februari lalu menggantikan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz. - Gambar fail Bernama
SUNGAI PETANI: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan beliau telah dilantik menjadi Pengerusi PH Kedah berkuat kuasa 7 Februari lalu.
Menurut Saifuddin, lantikan berkenaan adalah bagi menggantikan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar hasil kesepakatan atau konsensus membabitkan gabungan terbabit.
Sebagai langkah permulaaan, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Barisan Nasional (BN) Kedah bagi membincangkan mengenai penganjuran Konvensyen Perpaduan (Unity Government) Kedah di Sungai Petani, yang dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta.
"Jadi pertemuan baru-baru ini (juga) kami ambil kesempatan untuk berbincang tentang bagaimana kami di Kedah ni boleh memposisikan diri kami sebagai pembangkang yang kredibel (atau) yang efektif dan pada masa yang sama mempersiapkan diri kami menjadi 'government in waiting' (di Kedah).
"Itu dua tujuan kami bincang kelmarin (dengan pihak BN), yang mana semua gerak kerja sesuai dengan peranan kami sebagai pembangkang, (memandangkan) di Kedah ini UG adalah pembangkang dan PN itu kerajaan," katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Prospek Sempena Hari Thaipusam dan Lawatan Kerja ke Penjara Sungai Petani pada Selasa.
Ditanya mengenai desas-desus beliau akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Kedah pada pilihan raya akan datang, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kepimpinan parti kelak.
Jelasnya, fokus utama dirinya sebagai Pengerusi PH di Kedah adalah mengetuai struktur kepimpinan gabungan berkenaan di negeri Jelapang Padi melibatkan tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah.