Saifuddin beri jaminan e-undi pemilihan PKR telus, berintegriti

Bernama
Ogos 18, 2018 12:34 MYT
Saifuddin turut menyertai Larian BizRun 2018 di Padang Merbok hari ini. Turut sama Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (dua, kiri) dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Jamil Salleh (dua, kanan). --fotoBERNAMA
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan sistem 'e-undi' yang akan dilaksanakan buat pertama kali pada pemilihan PKR kali ini telus dan berintegriti.
Beliau berkata sistem yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dengan bantuan pakar itu telah dibentangkan dalam semua struktur lapisan parti dan dijamin tidak akan berlaku manipulasi data ketika pelaksanaannya.
"JPP telah bekerja keras membina sistem ini dan ia telah mendapat kelulusan semua peringkat lapisan parti, jaminan kita ialah sistem ini telus dan berintegriti," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta pada program larian SSM BizRun 2018 di sini pagi ini.
Saifuddin berkata bagi pihak dalam parti sama ada calon bertanding atau anggota yang masih mempunyai kemusykilan mengenai sistem ini boleh berjumpa sendiri dengan JPP berbanding mempertikaikannya di luar parti.
"Saya suka menasihatkan kalau ada lagi nak bertanya bagaimana sistem ini dikendalikan, jalan yang paling baik ialah tanya pada JPP.
"Tanpa perlu untuk mempertikaikan di luar daripada saluran, JPP adalah jawatankuasa yang diwujudkan oleh parti dan mereka mengamalkan prinsip ketelusan yang akan membantu anggota parti yang mahu tahu lebih tentang integriti sistem ini," katanya.
Kira-kira 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan kali ini yang membabitkan 218 cabang di seluruh negara.
Seramai 300 JPP dan 3,000 petugas akan terlibat dalam memastikan kelicinan pengundian dan 600 buah peranti e-undi akan dimobilisasikan sepanjang pemilihan itu berlangsung.
Pengundian peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermula pada 14 September di Kelantan dan Terengganu, 15 September (Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang), 17 September (Kuala Lumpur), 22 September (Pulau Pinang dan Kedah), 23 September (Selangor), 29 Sept (Johor), 30 September (Perak, Perlis), 6 Oktober (Sarawak) dan 13 Oktober di Sabah.
Proses penamaan calon peringkat cabang telah berlangsung pada 27 Julai lalu termasuk pada 5 Ogos bagi peringkat MPP namun penamaan calon untuk Selangor yang dibuat pada 12 Ogos berikutan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#e-undi #Jawatankuasa Pemilihan Pusat #JPP #Majlis Pimpinan Pusat #pemilihan #penamaan calon #PKR #Saifuddin Nasution Ismail #undi
;