Saifuddin ambil masa sebelum putuskan bertanding Timbalan Presiden PKR

Firdaus Azil
Mac 27, 2022 16:59 MYT
Menurut Saifuddin, jika sah bertanding kelak, niatnya untuk meraikan demokrasi dan memberi pilihan kepada ahli Parti Keadilan Rakyat. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution tidak akan membuat keputusan terburu-buru untuk merebut jawatan nombor dua parti iaitu sebagai Timbalan Presiden.
Menurut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, sudah menjadi tabiat beliau akan melakukan perbincangan serta mendengar dan mengambil kira pandangan setiap lapisan sebelum membuat keputusan besar termasuk mengenai keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam masa sama, kata Saifuddin, sekiranya mengumumkan secara rasmi untuk bertanding jawatan tersebut, niatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meraikan proses demokrasi iaitu memberi pilihan kepada ahli parti.
“Sudah menjadi tabiat, setiap keputusan besar saya mesti libatkan dengan setiap lapisan kepimpinan. Jadi saya masih dalam proses itu dan bila sampai masa dan ketika yang sesuai, saya akan buat keputusan.
“Dari saat itu (buat keputusan) saya menerima hakikat bahawa perlembagaan parti menghormati proses demokrasi memilih dan apabila saya kalau akhirnya buat keputusan begitu, ertinya saya ingin raikan proses demokrasi, beri kebebasan memilih.
“Dan tekad saya ialah untuk menyaksikan proses pemilihan atau pertandingan yang tidak mencarik persahabatan,” kata Saifuddin dalam sidang media selepas selesai merasmikan Mesyuarat Tahunan Keadilan Cabang Lembah Pantai di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, biar apa sahaja jawatan yang akan ditandinginya kelak, tindakan itu seharusnya memberi nilai tambah untuk sumbangan beliau kepada parti.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, mengumumkan hasrat untuk bertanding untuk jawatan tersebut.
Seorang lagi yang turut mempunyai hasrat yang sama ialah Farhash Wafa Salvador yang dilaporkan sebagai berkata, beliau sanggup mengundur diri daripada pertandingan tersebut sekiranya Saifuddin sah bertanding untuk Timbalan Presiden.
Jawatan itu sebelum ini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak 2018, namun beliau telah mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pemilihan parti sepatutnya berlangsung pada November tahun lalu, namun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memutuskan untuk menangguhkannya.
Dalam masa sama, perlembagaan parti membenarkan penangguhan itu sehingga Mei tahun hadapan.
Mengulas Kongres Tahunan Keadilan yang akan berlangsung tidak lama lagi, Saifuddin berkata, sudah semestinya perwakilan akan berbincang tentang keputusan yang tidak memihak kepada parti dalam beberapa siri pilihan raya negeri yang lepas.
Katanya lagi, bukan sifat parti untuk mengamalkan sindrom penafian, sebaliknya mereka akan menganalisa setiap keputusan yang dilakukan, serta usaha penambahbaikan, terutamanya ketika soal mengenai pilihan raya umum semakin hangat diperkatakan.
“Kita akan analisis (isu kekalahan itu) secara beradab dan kerana itu dalam siri mesyuarat parti Biro Politik atau MPP, isu yang berlaku sebagai reaksi kami, seawal keputusan (Pilihan Raya Negeri) Sabah, Melaka Sarawak dan Johor itu sentiasa agenda utama yang makan banyak masa.
“Dalam kata lain, siri kekalahan kami dalam PRN, memberikan kami satu reaksi dan reaksi kami adalah untuk segera lakukan ubah suai, naratif rakyat, perbaiki kelemahan dalam parti, latihan jentera, penggunaan data dan analisa dan sebagainya,” kata beliau lagi.
#pemilihan PKR #PKR #Saifuddin Nasution #timbalan presiden
;