Sahkan pertemuan dengan Hadi, Zahid tegaskan UMNO tak pernah padam agenda penyatuan ummah
Bernama
Oktober 2, 2022 23:28 MYT
Oktober 2, 2022 23:28 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, termasuk dalam kerjasama politik parti itu dengan Pas, yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan, dan kerana itu tidak sesekali dapat menerima pihak yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama mereka.
"Justeru, sebarang usaha memulihkan Muafakat Nasional atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama, mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.
"Sehubungan dengan ini juga, apa juga aspek yang bersangkutan dengan isu ini, haruslah dirujuk kepada kenyataan yang keluar melalui saluran rasmi saya mahupun parti," katanya menerusi satu kenyataan malam ini.
Mengenai spekulasi pertemuan dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengesahkan perkara itu, dengan menjelaskan pertemuan antara mereka diadakan di kediamannya pada 17 Sept lepas.
Katanya pertemuan empat mata tersebut, berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwah (persaudaraan) Islamiah, dengan perkara diperbincangkan termasuk agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama antara kedua-dua parti itu, suatu ketika dulu.
"Semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara UMNO-Pas pada waktu itu, berpaksikan kepada keinsafan betapa perlunya dua parti induk Bumiputera Melayu-Islam terlebih dahulu diperkasakan, bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah dalam erti kata sebenar.
"Penyatuan yang berteraskan keindukan Bumiputera Melayu-Islam ini, adalah kunci keharmonian dalam kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum," kata beliau.
-- BERNAMA