'Sabar saudara KJ, tunggu pemilihan.. tak sampai 6 bulan pun' - Zahid
Sinar Harian
November 23, 2022 05:00 MYT
November 23, 2022 05:00 MYT
SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk bersabar kerana pemilihan parti itu bakal berlangsung tidak sampai enam bulan lagi.
Menerusi komen balas pada hantaran Khairy pada Rabu, Ahmad Zahid menyatakan individu dalam parti itu boleh bertanding bagi mana-mana jawatan.
"Sabar saudara KJ. Tunggu pemilihan (UMNO) tak sampai enam bulan pun.
"Seluruh perwakilan akar umbi UMNO juga sudah tidak sabar mahu mengundi calon pilihan mereka," katanya pada Rabu.
Khairy pada Selasa dalam satu hantaran di Facebook menempelak beberapa pihak yang mempersoalkan mengapa beliau bertindak mengkritik Ahmad Zahid.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mengingatkan semula bahawa sejak 2018 lagi, beliau menentang Ahmad Zahid dalam perebutan jawatan nombor satu UMNO. - Sinar Harian