Sabah Memilih: UPKO saran SPR perkenal pusat pengundian pencil untuk perantau
Bernama
Ogos 15, 2020 17:39 MYT
Ogos 15, 2020 17:39 MYT
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya memperkenalkan sistem "remote voting centre" (pusat pengundian pencil) bagi membolehkan pengundi di luar Sabah menunaikan tanggungjawab semasa pilihan raya negeri kelak.
Timbalan Presidennya Datuk Donald Peter Mojuntin berkata amalan itu dilaksanakan di beberapa negara dan semakin diterima ketika dunia menghadapi penularan COVID-19 sekarang.
Parti-parti politik Sabah boleh menempatkan ejen masing-masing di pusat yang dikenal pasti bagi memastikan integriti undi, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar pusat tersebut dibuka selama dua hari bermula hari pengundian awal.
"UPKO seterusnya mencadangkan pusat pengundian pencil di Semenanjung Malaysia ditempatkan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang, sementara di Sarawak pula pusat itu ditempatkan di Kuching dan Miri, manakala di Singapura di Suruhanjaya Tinggi Malaysia," katanya, menambah kira-kira 18 peratus atau lebih 200,000 pengundi Sabah kini berada di luar negeri.
Pusat sedemikian juga boleh diperkenalkan di Sabah seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Keningau dan Tawau sebagai usaha mengekang penularan COVID-19, katanya lagi.
Terdahulu, SPR dilaporkan berkata saranan Global Bersih agar pengundi di luar Sabah dibenar menunaikan tanggungjawab melalui undi tanpa kehadiran tidak boleh dilaksanakan sekarang.
-- BERNAMA