Sabah Memilih: UMNO Libaran teguh berdiri belakang Bung Moktar

Radhi Muslim
Ogos 21, 2020 15:15 MYT
Suhaimi berkata, ada Ketua Bahagian yang hadir tidak mengetahui agenda sebenar sidang media di Petaling Jaya itu diadakan. - Foto Astro AWANI
UMNO Bahagian Libaran teguh berdiri di belakang Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dipilih pucuk pimpinan menjadi Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketuanya yang juga Bendahari UMNO Sabah, Suhaimi Nasir berkata, pihaknya bersama ahi UMNO kawasan itu sebulat suara menyokong Bung Moktar.
Menurutnya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu individu paling layak memegang jawatan berkenaan kerana seorang yang berprinsip dan berkaliber.
“Seperti mana yang saya maklumkan ahli-ahli parti di dalam Bahagian Libaran ini, kami sepakat berdiri di belakang Yang Berhormat Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kita tetap setia kepada parti, tetap setia menyokong beliau,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Mesyuarat Berkelompok UMNO Libaran, di Sandakan pada Jumaat.
Mengulas berhubung kehadiran beberapa Ketua Bahagian UMNO Sabah dalam satu sidang media di Petaling Jaya pada Selasa, beliau berkata, ada Ketua Bahagian yang hadir tidak mengetahui agenda sebenar sidang media itu diadakan.
“Banyak yang hadir kita tanya ada satu dua orang mereka sendiri tidak tahu ia berkaitan apa.
“Mereka dikatakan hadir bersama Tan Sri Musa Aman …tetapi bila kita lihat video itu tidak ada Tan Sri Musa Aman, jadi ini semua jual nama sahaja,” katanya.
Terdahulu, dalam satu sidang media dihadiri seorang Ahli Majlis Tetinggi (AMT) UMNO bersama 12 Ketua Bahagian UMNO Sabah serta Ketua Wanita membuat bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah PRN Sabah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya meminta semua ahli UMNO menghormati pelantikan Bung Moktar.
Sementara itu, Bung Moktar belum mahu memberikan komen lanjut berhubung isu berkenaan.
#Bung Moktar Radin #Musa Aman #pilihan raya #PRN Sabah #Sabah Memilih #Sandakan #Suhaimi Nasir #UMNO #UMNO Libaran #Zahid Hamidi
;