Sabah Memilih: UMNO, Bersatu harus ketepi sengketa PRU14 untuk hadapi PRN - Mohd Rafiq

Wan Syamsul Amly
Ogos 4, 2020 16:11 MYT
Mohd Rafiq berkata, PRN Sabah harus menjadi medan untuk menterjemahkan kerjasama dan kata sepakat meletakkan calon paling sesuai untuk menentang Warisan. - Gambar fail
UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai platform untuk kedua-dua parti Melayu itu mengenepikan persengketaan yang timbul semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lalu (PRU14).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PRN Sabah harus dilihat sebagai hikmah untuk kedua-dua parti mencari titik persamaaan dan mengukuhkan hubungan yang sudah terjalin di peringkat Pusat.
Menurut beliau, PRN itu juga boleh menjadi medan untuk menterjemahkan kerjasama dan kata sepakat meletakkan calon paling sesuai untuk menentang Warisan.
"Saya fikir Bersatu Sabah dan juga UMNO Sabah perlu duduk berunding dalam semangat kekeluargaan dan perlu mencari kekuatan masing-masing.
"Di mana kerusi-kerusi yang dikatakan UMNO lebih kukuh, yang berpotensi menang, maka kita kena pertimbangkan untuk diberikan kepada UMNO dan begitu juga sebaliknya, di mana kerusi-kerusi yang dikatakan Bersatu mempunyai calon atau kekuatan faktor-faktor lain yang lebih baik berbanding UMNO perlu juga dipertimbangkan kepada Bersatu," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.
BACA: Sabah Memilih: Bersatu kena berpijak di bumi yang nyata - UMNO Kalabakan
BACA: Sabah Memilih: Pertandingan mungkin jadi lima penjuru - Abdul Rahman
Dalam pada itu, jelas Mohd Rafiq, perundingan itu akan direalisasikan jika kedua-dua parti dapat berfikir secara lebih rasional dan memikirkan faktor atau kesan jangka panjang supaya tidak ada pertembungan tiga penjuru sesama mereka.
Mengulas isu sama, Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, keputusan terbaik antara parti itu dan UMNO dalam isu calon akan diperoleh dalam masa terdekat
"Masing-masing boleh membuat kenyataan, gesaan dan permintaan, akhirnya ia akan diputuskan bersama selepas berbincang dengan sebaik-baiknya, kita buat keputusan terbaik untuk PRN ini.
"Tiada ketegangan, saya baru duduk dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Insya-Allah, semua akan selesai dengan baik," ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Ketua UMNO Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy menegaskan, Bersatu Sabah perlu berpijak di bumi yang nyata apabila mengumumkan bakal meletak calon di 45 kerusi pada PRN akan datang.
Sementara Ketua UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin pula menjelaskan, mana-mana kerusi dominan milik parti itu harus diserahkan semula untuk mengelakkan perebutan kawasan dengan Bersatu.
Bagaimanapun, katanya, kerusi itu boleh dipertimbangkan untuk diserahkan kepada Bersatu jika mereka mempunyai calon yang mempunyai kredibiliti dan peluang tinggi untuk menang.
#calon #PPBM #PRN Sabah #PRU14 #UMNO
;