Sabah Memilih: Suara kaum Kadazandusun Murut usah dipinggir
Ruzaini Zulkepli
Ogos 5, 2020 14:46 MYT
Ogos 5, 2020 14:46 MYT
Suara kaum Kadazandusun Murut (KDM) dan rumpunnya diharap tidak disisihkan oleh setiap parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Selain itu isu-isu berbangkit, seperti masalah sijil kelahiran, tanah adat dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu harus diperjuangkan dan bukannya sekadar retorik semata-mata.
Mengikut statistik yang diperolehi dari Jabatan Perangkaan pada tahun 2010, kaum KDM dan rumpunnya difahamkan merangkumi kira-kira 670,000 orang berbanding jumlah keseluruhan seramai 3.2 juta penduduk Sabah.
Menurut Presiden Persatuan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (AGARAS), Micheal Frederick, lebih banyak tumpuan harus diberikan untuk golongan KDM ini yang mana sebelum ini dilihat belum dapat diselesaikan secara sepenuhnya.
"Kita mengharapkan pemimpin akan datang lebih memberi perhatian kepada bangsa Kadazan-Dusun-Murut- Rungus (KDMR) dimana kebanyakan mereka memerlukan perhatian, contoh isu-isu seperti Sijil Kelahiran, MyKad yang kebanyakan di kawasan pedalaman yang saya dapat tahu masih ramai yang tidak mempunyai Sijil Kelahiran dan ini menyukarkan mereka untuk bergerak, " katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Pengerusi Pemuda Persatuan Kebudayaan Kadazan Duzun (KDCA), Jordan Jude Ellron ketika ditemui berkata, sudah sampai waktunya pemimpin dalam kalangan belia diangkat untuk menjadi muka baharu dalam lanskap politik di Sabah.
Meskipun berlainan fahaman parti politik, apa yang penting adalah memperjuangkan isu-isu kenegerian seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu setempat dan tidak tunduk dengan tekanan daripada mana-mana pihak.
"Tentang persoalan belia akan mengambil bertanding, khususnya kepada Gen Y dan gen Z, harapan saya untuk pemimpin menjadi calon untuk PRN, saya minta belia berjuang untuk negeri Sabah," katanya.
Sementara itu, jelas Jordan lagi, kebanyakan belia KDM di kawasan bandar di Sabah amat memerlukan satu mekanisme membantu mereka memajukan diri dan mempunyai sedikit perbezaan bagi mereka yang berada di luar bandar.
"Kita memang tahu luar bandar itu sumbernya adalah pertanian, tetapi bukan semua belia suka bidang pertanian jadi mereka turun ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan contohnya mereka mahu bekerja di restoran dan industri automotif dan sebagainya," katanya lagi.
#KDM
#Malaysia
#Micheal Frederick
#pemuda
#Perjanjian Malaysia 1963
#pilihan raya
#politik
#presiden
#Presiden Persatuan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah
#rakyat