Sabah Memilih: STAR konsisten menangi hati rakyat Sabah
Ruzaini Zulkepli
Ogos 13, 2020 15:25 MYT
Ogos 13, 2020 15:25 MYT
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) konsisten memenangi hati rakyat di negeri ini dengan idealogi memperjuangkan hak sejagat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin berkata, situasi semasa di Sabah dan juga keputusan mahkamah mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak merencatkan persiapan parti untuk PRN.
"STAR Sabah sebenarnya kita sudah memang siap sedia sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.
" Selepas PRU-14 kita punya keahlian sudah banyak berkembang, kita punya keahlian pun sudah sekarang sedikit lagi mahu mencapai 300,000 keahlian dan lebih kurang sampai 50 bahagian seluruh Sabah. Justeru tidak keterlaluan saya katakana STAR Sabah bersedia menghadapi PRN sekiranya ia diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian di ibu pejabat STAR, berhampiran Bukit Padang, Kota Kinabalu, pada Khamis.
Terdahulu, STAR yang ditubuhkan sejak tahun 2015 ini sinonim dengan ikon politik Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selaku Presiden dan merupakan sebuah parti berbilang bangsa.
Ditanya mengenai apakah daya tarikan parti itu menjelangnya PRN Sabah, Jeffrey berkata, salah satu sebabnya adalah kekuatan Presiden yang amat konsisten dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini termasuklah berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kekuatan parti STAR ini memanglah pusat dia itu daripada kami punya presiden sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebab dia punya perjuangan itu amat konsisten dari 1985 sampai hari ini,” katanya lagi.
Jelas beliau, dengan unsur konsisten berkenaan, ia dilihat sebagai satu mekanisme parti untuk terus memperjuangkan isu setempat, meskipun kini berada sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN), berbanding menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.
Untuk rekod, pada PRU-14, STAR telah bertanding 20 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen.
Daripada jumlah itu, parti tersebut berjaya memenangi satu kerusi Parlimen (Keningau-Dr Jeffrey) dan dua kerusi DUN, (Tambunan-Dr Jeffrey) serta (Bingkor-Robert Tawik).
STAR mendapat tambahan satu kerusi DUN selepas bekas wakil rakyat BN, Datuk Ellron Angin (Sook) menyertai mereka pada tahun 2018.
#Jeffrey Kumin
#Ketua Penerangan STAR
#Parti Solidariti Tanah Airku
#pilihan raya negeri
#PRN Sabah
#Sabah
#STAR Sabah