Sabah Memilih: Resepi turun padang Warisan diyakini tambat hati pengundi
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 10, 2020 16:36 MYT
Ogos 10, 2020 16:36 MYT
Jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin gerak kerja turun padang bertemu rakyat tanpa mengira masa dapat menambat hati rakyat Sabah sekali lagi.
Ketua Wirawati Warisan Bahagian Putatan merangkap Exco Wirawati Sabah, Izzatul Aini Nissanso berkata dia bersama rakan-rakannya percaya usaha tersebut akan membuahkan hasil.
“Kesediaan dari sudut jentera kita telah bersedia dengan program setiap bulan dan kesempatan yang kita ada sejak COVID-19, setiap wirawati di bahagian-bahagian giat turun padang membantu rakyat yang terjejas,” katanya.
Izzatul Aini berkata demikian ketika ditemui pada Isnin dalam tinjauan persediaan parti-parti bertanding menjelang PRN Sabah.
Jelas Izzatul susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dua minggu lalu, pergerakan wanita parti itu turut bertindak sebagai jentera penyampai maklumat kepada rakyat.
"Selepas pembubaran DUN ini setiap jentera yang turun padang cuba menerangkan maklumat yang betul kepada orang ramai tentang apa yang kerajaan pimpinan Warisan telah lakukan,” katanya.
Ditanya sama ada Warisan akan meletakkan calon-calon wanita pada PRN nanti, jelasnya sebagai ahli parti, semuanya bakal ditentukan oleh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak lama lagi.
Katanya, sejak penubuhan Warisan, parti itu telah pun mengetengahkan bakat-bakat muda dan wanita sebagai calon seperti yang dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
#calon muda
#calon wanita
#Izzatul Aini Nissanso
#Mohd Shafie Apdal
#pilihan raya
#Shafie Apdal
#wanita
#Warisan
#Wirawati Sabah
#Wirawati Warisan