Sabah Memilih: PRN Sabah ditetapkan dalam dua minggu lagi - SPR

Bernama
Ogos 4, 2020 07:03 MYT
Mesyuarat khas SPR bagi PRN Sabah akan diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi. - Foto fail Bernama
Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi, kata Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom.
Azmi yang menjalankan tugas pengerusi SPR berkata suruhanjaya itu masih belum dapat menetapkan tarikh mesyuarat itu buat masa ini kerana memerlukan sedikit masa memandangkan PRN Sabah membabitkan satu negeri dengan 73 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Semua maklum bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman pembubaran DUN, perlu diingatkan PRN tidak sama dengan Pilihan Raya Kecil.
"Jadi ia memerlukan sedikit masa lagi bagi mengadakan satu pilihan raya yang sesuai dan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dengan SPR menerima pemakluman rasmi mengenainya pada keesokkan hari.
Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.
#Dr Azmi Sharom #pembubaran DUN #pembubaran DUN Sabah #pilihan raya negeri #PRN Sabah #Sabah #Shafie Apdal #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #tarikh pilihan raya