Sabah Memilih: Perikatan Nasional perlu kerja keras promosi logo parti
Firdaus Azil
Ogos 29, 2020 18:58 MYT
Ogos 29, 2020 18:58 MYT
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan bermula dalam tempoh sebulan lagi, Perikatan Nasional (PN) perlu bekerja lebih keras untuk mempromosi logo baharu gabungan itu, di kalangan pengundi.
Pensyarah Kanan (Dasar Awam) UiTM Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, penggunaan logo itu perlu diteliti memandangkan ia tidak pernah digunakan dalam pilihan raya sebelum ini, termasuk Pilihan Raya Umum pada 2018.
Namun, jelasnya lagi, keadaan itu boleh diimbangi sekiranya PN menggunakan percaturan politik yang betul, termasuk calon yang mempunyai kredibiliti, serta manifesto yang mampu menarik undi.
Sebagai contoh, ujar Firdausi, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga membawa logo baharu iaitu lambang Parti Warisan Sabah, namun masih berjaya mendapat kepercayaan majoriti rakyat negeri itu.
“Kita ambil contoh Datuk Seri Shafie, walaupun beliau dahulu adalah alumni UMNO, dan apabila beliau bertanding sebagai Warisan, orang memang undi melihat pada kewibawaan calon itu.
“Sama juga dengan kalau kita tengok Datuk Jeffrey (Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan), walaupun dia telah bertukar parti dengan begitu banyak, tetapi dia tetap menang walaupun di bawah tiket berbeza, di parti yang berbeza,” katanya lagi.
Firdausi berkata demikian ketika mengulas mengenai lawatan dua hari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah, serta pelancaran logo PN yang disempurnakan hari ini.
Sebelum ini UMNO bertekad tidak akan menyertai PN, manakala MIC turut membuat keputusan menarik diri dari gabungan parti itu.
Dalam pada itu, Firdausi berkata, jika parti itu meletak calon yang mempunyai dua kriteria iaitu berkebolehan atau capable, dan mampu menang (winnable), maka sudah pasti ia mempunyai peluang lebih cerah.
"Ia bergantung kepada konteks. Jadi dalam situasi yang sekarang ini di PRN akan datang ini, saya rasa paling utama mereka kena-kena fikirkan calon dan jentera mereka, bagaimana untuk mendapat undi yang lebih. Jadi faktor calon ini amat penting.
“Sekiranya letak calon yang salah, nanti ada jentera yang sabotaj, dia akan kembali lagi isu yang dahulu. Jadi inilah perkara paling penting yang saya rasa mereka harus lihat,” katanya lagi.
#Dr Firdausi Suffian
#Ketua Menteri
#menteri
#Mohd Shafie Apdal
#Muhyiddin Yassin
#penganalisis politik
#Perdana Menteri
#Perikatan Nasional
#Pilihan Raya Negeri Sabah
#pilihan raya umum
#PRN Sabah
#rakyat
#Sabah Memilih