Sabah Memilih: Pairin enggan buat kemunculan semula
Assim Hassan, Ruzaini Zulkepli
Ogos 19, 2020 17:53 MYT
Ogos 19, 2020 17:53 MYT
Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bertegas tidak mahu membuat sebarang kemunculan semula pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September depan, Pairin berkata, peluang seharusnya diberikan kepada golongan muda dan muka baharu.
Jelasnya, beliau kini menikmati tempoh persaraannya daripada dunia politik selepas kali terakhir bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
"Jika ditanya sama saya akan bertanding pada PRN ini, jawapan saya adalah saya sedang menikmati tempoh persaraan.
"Biarlah peluang ini diberikan kepada muka baharu, golongan muda dan mereka yang berpotensi untuk menggalas tanggungjawab mempertahankan hak dan maruah negeri Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ITCC, Penampang, pada Rabu.
Mengulas mengenai perkembangan senario semasa, Joseph Pairin selaku pengasas PBS mahu parti itu bangkit semula dan muncul sebagai sebuah wadah politik negeri ini.
"Saya berhajat, dalam konteks politik dan PRN sekarang, saya mahu melihat PBS muncul sebagai kuasa besar dalam politik di Sabah.
"Apa yang paling penting, PBS perlu memenangi semua kerusi ditandingi dan sehebat ketika zaman kegemilangannya sedikit masa dahulu," katanya.
Pairin turut menambah, keputusan PBS untuk menggunakan logo parti itu dalam PRN Sabah kali ini tepat pada masanya.
“Para pengundi masih lagi menyayangi PBS sudah pasti dengan menggunakan simbol sendiri nanti ia satu yang positif.
“Selain itu saya juga mahu PBS dapat merampas kembali kerusi DUN Tambunan,” katanya.
Untuk rekod, PBS kini diketuai oleh Presidennya, Datuk Dr Maximus Ongkili yang sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk parti itu bertanding di 30 kerusi pada PRN Sabah kali ini.
Parti pro Perikatan Nasional (PN) itu pada PRU-14 adalah sebahagian komponen BN dan pernah memenangi enam kerusi DUN sebelum ini.
#Barisan Nasional
#Joseph Pairin Kitingan
#kemunculan semula
#PBS
#Penampang
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#politik
#Sabah