Sabah Memilih: Ketepikan kepentingan diri, fokus bantu rakyat - Muhyiddin

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Ruzaini Zulkepli
Ogos 29, 2020 23:25 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri malis perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Negeri Sabah di Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru parti-parti politik seangkatan Perikatan Nasional (PN) di Sabah untuk bersatu padu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Antara yang disebut beliau adalah parti-parti seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas, MCA bahkan beberapa parti tempatan seperti STAR, PBS, PBRS dan SAPP.
Muhyiddin turut memberi bayangan, sudah sampai waktunya untuk setiap kepentingan masing-masing ditepikan dalam usaha menjadi sebuah 'pasukan'.
"Saya mengharapkan sebahagian besar pemimpin yang hadir, pimpinan politik... kita bersatu hatilah, bertautlah, jangan kita kira datang dari Bersatu, UMNO, STAR, PBS, PBRS, MCA, Pas, SAPP, tiada siapa kita, we are all Malaysian.
"Tiba masanya dalam kelaziman baharu ini dan kelaziman baharu politik ini, untuk kita duduk semeja, untuk kepentingan rakyat khususnya, dan kali ini khususnya untuk rakyat Sabah.
"Menunjukkan kita adalah satu, kita bekerja sebagai satu pasukan, kita akan bina dan majukan Sabah untuk rakyat Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Perjumpaan Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada malam Sabtu.
Dalam majlis itu, beberapa figura politik Sabah turut memeriahkan suasana termasuklah Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Terdahulu, dalam ucapannya di majlis tersebut, Muhyiddin turut menyentuh bahawa pentingnya sesebuah kerajaan negeri berpihak sama dengan persekutuan yang kini di bawah tampuk pemerintahan PN.
Untuk rekod, PRN Sabah akan membuka tirainya pada 12 September hadapan sebagai tarikh penamaan calon.
#Bersatu #MCA #Muhyiddin Yassin #PAS #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #pilihan raya negeri #PN #PRN Sabah #Sabah #UMNO
;