Sabah Memilih: Kerjasama baik UMNO, Pas dan PN semakin kukuh

Petrus Bernard
Ogos 29, 2020 09:33 MYT
MARZUK: 'Pas telah mengenal pasti beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dan Pas menyakini untuk memenangi kerusi tersebut.' - Foto Astro AWANI
Kerjasama baik antara Pas bersama UMNO serta parti dalam komponen Pakatan Nasional (PN) semakin kukuh khasnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September depan.
Ini dapat dilihat berikutan kesediaan Pas menggunakan logo yang sama iaitu logo Barisan Nasional bagi setiap calon Pas yang akan bertanding.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marzuk Shaary berkata apa yang penting sekarang ini ialah semangat permuafakatan dan kerjasama jitu untuk menghadapi PRN Sabah seperti yang sudah dibuktikan dalam PRK sebelumnya.
"Dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan satu prestasi yang sangat memberangsangkan jadi soal-soal penggunaan logo itu adalah merupakan hal yang kedua, yang paling penting kerjasama di antara parti komponen yang telah pun membuktikan bahawa kita berjaya untuk membentuk muafakat yang terbaik yang boleh diterima oleh rakyat," katanya.
Menurutnya, apa yang penting sekarang ini ialah kemenangan Perikatan Nasional dalam memenangi PRN Sabah kali ini untuk membentuk kerajaan negeri.
Marzuk turut berkata, Pas telah mengenal pasti beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dan Pas menyakini untuk memenangi kerusi tersebut.
"Pas bersedia untuk meletakkan calon di tempat yang kita rasa kita boleh menang.
"Calon-calon yang akan kita letakkan ini merupakan calon-calon yang ada merit dan berwibawa dan paling penting diterima oleh masyarakat setempat dan insya-allah kalau dipilih nanti mereka akan berperanan yang sangat baik dalam menjaga hal ehwal kebajikan rakyat dan juga berperanan dalam kerajaan yang baharu," kata Marzuk.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Bersama Komuniti Kampung Bergosong Pulau Sebatik, di sini hari ini.
Marzuk turut menyampaikan bantuan Musaadah kepada 124 penerima serta bantuan program Foodbank YAPEIM 2.0 kepada 100 buah keluarga golongan asnaf.
Terdahulu, dalam siri lawatannya ke Tawau Marzuk turut melawat dan menyumbangkan RM20, 000 kepada sekolah Tabika Tunas Islam Nurul Hannani yang musnah dalam kebakaran pada Khamis.
#Barisan Nasional #kerajaan #Marzuk Shaary #menteri #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #PAS #pilihan raya kecil #rakyat #Sabah Memilih #YAPEIM 2 0