Sabah Memilih: Keputusan mahkamah esok penentu persiapan Bersatu hadapi PRN

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Ruzaini Zulkepli
Ogos 20, 2020 16:20 MYT
Menurut Hajiji, senario semasa di Sabah akan mempengaruhi keputusan, namun tahap kesediaan pihaknya menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak terjejas. - Gambar Astro AWANI
Keputusan mahkamah tinggi berhubung kes cabaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal diketahui esok dijangka menjadi penentu kepada persiapan pilihan raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.
Ketua Pimpinannya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, senario semasa di Sabah dilihat akan mempengaruhi keputusan, namun tahap kesediaan pihaknya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak terjejas.
"Perkara ini hanya mahkamah yang boleh memutuskan, saya tidak boleh bercakap lebih daripada itu tetapi apa pun keputusan yang akan berlaku, kita bersedia menghadapi pilihan raya.
"Dan kalau mahkamah membuat keputusan lain daripada itu keadaannya agak berbeza dan mungkin kita tunggu la apa yang diputuskan oleh mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis borang keahlian Bersatu di Kampung Baru-Baru, Tuaran, pada Khamis.
Untuk rekod, esok satu keputusan mahkamah dijangka diumumkan berhubung penetapan semakan kehakiman 33 wakil rakyat diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Kesemua wakil rakyat berkenaan memohon fail kehakiman atas cabaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Oleh Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.
Sementara itu, ditanya berhubung keputusan agihan kerusi di antara Bersatu dan UMNO di Sabah, Hajiji berkata, pihaknya telah bersemuka dengan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beberapa kali sebelum ini dan percaya persetujuan akan tercapai sebelum hari penamaan calon pada 12 September ini.
Menurut beliau, soal berapa kerusi yang diperoleh pihaknya tidak menjadi persoalan besar namun apa yang lebih penting adalah mengelak daripada pertembungan kerusi.
"Saya telah berjumpa dengan Datuk Bung beberapa kali sebelum ini, dalam peringkat awal kita nampak mempunyai satu tujuan iaitu untuk menenangi pilihan raya.
" Maknanya dalam pilihan raya ini kita tidak boleh bertembung antara satu sama lain diantara UMNO, BN dan parti-parti Perikatan Nasional (PN).
" Jadi dalam perkara ini saya yakin sebelum akhir bulan ini dan sebelum penamaan calon perkara ini akan dapat diselesaikan," katanya.
Hajiji ketika ditanya mengenai kemelut dalaman yang berlaku di kalangan pemimpin UMNO Sabah berpendapat, pihaknya tidak mahu mencampuri hal berkenaan namun berharap ia dapat diselesaikan secara baik bagi mengambil kira kesediaan semua pihak (Pro PN) menghadapi PRN Sabah.
#33 wakil rakyat #Hajiji Mohd Noor #keputusan mahkamah #Musa Aman #pembubaran DUN #Sabah Memilih #semakan kehakiman #Tun Juhar Mahiruddin #Yang Dipertua Negeri
;