Sabah Memilih: Kecenderungan mengundi di PRN Sabah tidak sehangat PRU 2018

Firdaus Azil
Ogos 16, 2020 18:46 MYT
Ada pengundi belia merasakan keadaan di Sabah tetap akan sama walaupun parti mana yang memerintah. - Gambar fail
Pemerhati politik menjangkakan peratus pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan menurun berbanding sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, khususnya di kalangan anak muda.
Presiden Majlis Belia Sabah Farid Sainuri berkata, ia juga akan dipengaruhi faktor kira-kira 18 peratus pengundi di luar Sabah akan menghadapi sedikit kesulitan untuk melaksanakan tanggungjawab, ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.
Selain itu, katanya lagi, langkah meletakkan muka baharu juga tidak akan memberi kesan yang besar memandangkan rakyat Sabah masih lagi merasakan parti-parti sedia ada yang masih mengawal dinamika politik semasa.
“Berdasarkan faktor utama yang dimainkan dalam sentimen politik di Sabah ini, yang kita boleh nampak betapa kekecewaan warga Sabah, atau belia ada yang non-partisan, tidak terlibat dalam parti…tetapi memang mengundi,
“Mereka ini kita kategorikan atas pagar, dan mereka tidak berpuas hati dengan insiden lompat atau cabar-mencabar, yang mahu mentadbir Sabah guna kaedah demokrasi yang tidak menggunakan pintu pilihan raya.
“Sentimen kekecewaan itu ada, yang kita jangkakan kemungkinan besar tsunami politik tidak seperti (PRU) lepas, di mana semua rakyat Sabah turun, rakyat yang berada di Semenanjung pun mencari jalan untuk balik mengundi dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Namun, Farid berkata, pengundi Sabah, khususnya golongan belia, mungkin akan tertarik dengan calon-calon teknokrat, dilengkapi dengan idea atau manifesto baharu yang penting untuk memastikan arus pembangunan Sabah lebih baik.
“Sekiranya wajah baharu diperkenalkan, kita tahu platform tetap adalah parti sedia ada, dipimpin senior politik. Itu hakikat. Kerana kalau tubuhkan parti anak muda, ianya tidak cukup kuat kerana tidak ada pengundi baharu, yang boleh sokong sepenuhnya parti belia bawah umur 40 tahun.
“Jadi wajah baharu akan diperkenalkan guna platform sedia ada. Cuma kita nantikan siapa atau parti mana yang dipimpin figura lama yang cukup senior, boleh memberi ruang paling banyak untuk anak muda calonkan diri, bukan sekadar muda, tapi mempunyai latar belakang profesional,” katanya lagi.
Selain itu, Farid berkata, sentimen di kalangan rakyat menunjukkan mereka lebih gemar atau cenderung untuk memberi sokongan kepada parti tempatan.
#Astro Awani #Belia #Farid Sainuri #Majlis Belia Sabah #Manifesto #pengundi #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #pilihan raya #pilihan raya umum #PKPP #politik #PRN Sabah #Sabah Memilih
;