Sabah Memilih: Jangan pinggirkan calon muda
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 10, 2020 14:23 MYT
Ogos 10, 2020 14:23 MYT
Angkatan Bersatu Anak Muda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mahu lebih ramai calon muda ditampilkan pada Pilihanraya Umum Negeri PRN yang bakal diadakan kelak.
Menurut Ketua Armada Bersatu Kota Belud, Fairuz Renddan juga turut menuntut agar calon-calon lama termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dalam usaha mengambil alih kerajaan negeri dua minggu memberikan ruang kepada calon baharu.
Fairuz yang juga Penolong Bendahari Armada Nasional, menggesa barisan kepimpinan komponen Bersatu Sabah agar memberikan kuota 40 peratus calon terdiri daripada anak-anak muda.
"Bagi saya sudah tiba masanya untuk pemimpin-pemimpin ini untuk memberi ruang dan peluang kepada calon-calon muda kerana bagi saya apa yang berlaku sebelum ini pada 2018 dan yang terbaru ini sampai kepada pembubaran DUN Sabah.
“Budaya (melompat) berpindah-pindah ke sebelah ke parti adalah tidak sihat dan tidak baik bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin muda malah kepada rakyat Malaysia. Ia juga contoh tidak baik dan bukan teladan yang boleh diikuti,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu pada Isnin.
Tambah Fairuz, jika perkara itu tidak diberi perhatian dan diperhalusi pucuk pimpinan maka tiada perubahan besar yang dapat dilihat rakyat.
Katanya, sekiranya pucuk pimpinan masih menampilkan calon-calon lama, ia sama seperti pilihan raya umum sebelum ini.
Menyentuh kesediaan parti itu dalam berdepan PRN yang bakal diadakan, Fairuz berkata dia dan ahli parti bersama ahli-ahli komponen yang lain bersedia sepenuhnya bagi memenangi sekurang-kurangnya 80 peratus kerusi pada PRN itu nanti.