Sabah Memilih: Hubungan sedia ada sudah mencukupi - Shafie Apdal

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 31, 2020 18:24 MYT
Mohd Shafie berkata, hubungan pentadbiran sedia ada sudah cukup untuk terus membangunkan negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan tiada keperluan untuk kerajaan negeri selari dengan kerajaan Persekutuan.
Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata, ini kerana hubungan pentadbiran sedia ada sudah cukup untuk terus membangunkan negeri ini.
Menurut Shafie pendirian kerajaan negeri itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kerajaan dengan kerajaan, saya sudah maklumkan dengan dia (Perdana Menteri)... kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat, untuk kepentingan negara kita (akan teruskan) kerjasama kerajaan dengan kerajaan.
"Kita bukan inginkan haluan politik itu... politik kita ketepikan, dalam politik saya ada pertimbangan dan prinsip politik saya. Dalam hal-hal lain kita kena kerjasama untuk kita bina negara.
"Pembangunan negara kita dalam konteks Sabah misalnya, mereka memerlukan penyatuan (kerjasama) yang ada (antara) kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” katanya yang ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menyarankan agar kerajaan negeri perlu selari dalam soal pembangunan.
#Hubungan politik #Mohd Shafie Apdal #Muhyiddin Yassin #pembangunan Sabah #Politik Sabah #PRN Sabah #Sabah Memilih #Shafie Apdal
;