Sabah Memilih: Gelombang politik Sabah adalah tindakan Musa bukan Shafie
Petrus Bernard
Ogos 3, 2020 17:45 MYT
Ogos 3, 2020 17:45 MYT
Gelombang politik di Sabah hingga memaksa Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika penularan pandemik COVID-19 adalah atas perbuatan Tan Sri Musa Aman.
Naib Pengerusi Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong turut menyelar kenyataan Musa yang mengatakan tindakan Mohd Shafie itu tidak memikirkan keselamatan rakyat Sabah juga tidak berasas.
“Kalau saya apa yang dikatakan oleh bekas ketua menteri, Tan Sri Musa itu adalah dari perbuatannya (Musa).
“Sudahlah kita dalam keadaan COVID-19 dan menjelang Hari Raya Aidiladha (pada Khamis lalu), beliau cuba menceroboh pula undang-undang (dan) keputusan rakyat.
“Saya pasti, rakyat tahu apa beliau buat, ucapkan dan perbuatannya,” kata Jaujan selepas merasmikan majlis penerangan isu semasa di kawasan Semporna pada Isnin.
Selain itu, Jaujan yakin rakyat Sabah sudah matang dalam memilih wakil rakyat yang benar-benar membantu dan membela nasib mereka.
Tegasnya, orang luar juga diminta tidak melabelkan Sabah sebagai ‘Simpanan Tetap’ (Fix Deposit) untuk berkuasa.
Dalam perkembangan lain, Jaujan yakin, Warisan dan rakan sekutunya tidak menghadapi masalah serta akan mendapat sokongan rakyat termasuk di 13 kerusi DUN baharu.
“Berdasarkan 13 penembahan kerusi itu, saya tidak mahu cakap besar tetapi mengikut analisis kita, sudah tentu mereka memihak kepada Warisan dan rakan-rakan,” katanya.
#COVID-19
#jaujan sambakong
#Mohd Shafie Apdal
#Musa Aman
#pilihan raya negeri
#PRN Sabah
#Sabah
#Semporna
#Simpanan Tetap
#Warisan