Sabah Memilih: Faktor ekonomi jadi pengaruh terbesar pengundi - SEEDS
Ridzal Abdullah, Ruzaini Zulkepli
September 6, 2020 14:39 MYT
September 6, 2020 14:39 MYT
Sentimen pengundi terhadap faktor ekonomi semasa amat mempengaruhi dalam memutuskan 'siapa' yang bakal memimpin negeri Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Meskipun dibayangi kontroversi wakil rakyat melompat parti, perseteruan politik dan kes-kes mahkamah ketika ini, itu bukanlah punca utama mempengaruhi para pengundi kelak.
Menurut kajian Pertubuhan Pengupayaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS), isu seperti royalti minyak dan kedudukan ekonomi semasa susulan beberapa insiden termasuklah kesan pandemik Covid-19 bakal mempengaruhi keputusan pengundi.
Pengerusi SEEDS, Dr Arnold Puyok berkata, berdasarkan responden yang ditemui pihaknya, rata-rata bersetuju isu tersebut dan ini termasuklah apa yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti royalti minyak di Sabah.
"Nampaknya isu berkaitan ekonomi seperti walaupun kita bercakap tentang MA63, kebanyakkan responden mengaitkan MA63 dengan royalti minyak bila kita tanya kenapa royalti minyak?, mereka mengatakan royalti minyak juga berkaitan keadaan ekonomi.
"Sebab kalau kita mempunyai royalti yang tinggi, kerajaan mempunyai pendapatan lebih dan pendapatan itu boleh digunakan membangunkan infrastruktur dan juga mungkin dapat digunakan untuk membantu masyarakat yang dibawah yang mempunyai isu kesukaran ekonomi.
"Bagi kami berdasarkan data yang kami dapat nampaknya isu-isu berkaitan ekonomi ini sangat-sangat memainkan peranan penting," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar SEEDS berkaitan Pilihan Raya di Sabah, di Kota Kinabalu, pada Ahad.
Ulas Arnold lagi, SEEDS telah melakukan kajian secara rawak melibatkan seluruh negeri ini bermula 4 hingga 31 Ogos lalu.
Menurutnya lagi, berdasarkan maklum balas awal para responden yang ditemui, pihaknya mendapati senario wakil rakyat melompat parti tidak mempengaruhi sentimen pengundi memandangkan sebilangan mereka adalah figura politik yang digemari oleh penduduk.
Mengambil contoh penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar yang merupakan salah seorang ahli politik digemari meskipun pernah melompat beberapa kali sejak memenangi kerusi itu menggunakan tiket BN pada PRU-14.
Bahkan, PRU-14 juga memperlihatkan kemenangan Datuk Dr Jefrey Kitingan untuk kerusi Parlimen Keningau dan DUN Keningau meskipun sebelum ini beliau pernah dinobatkan sebagai 'Raja Katak' kerana penghijrahan beberapa parti.
#ekonomi
#koronavirus
#minyak
#Perjanjian Malaysia 1963
#pilihan raya
#Pilihan Raya Sabah
#PRN Sabah
#royalti
#Sabah
#Sabah Memilih