Saarani nafi tawar jawatan Exco kepada PH
Aida Aziz
Disember 12, 2020 20:54 MYT
Disember 12, 2020 20:54 MYT
LENGGONG: UMNO Perak menafikan dakwaan kononnya parti itu menawarkan jawatan Exco kerajaan negeri kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu jika wujud persefahaman untuk membentuk kerajaan bersama parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).
Ujarnya lagi, tidak timbul isu tawaran itu kerana kerajaan Perak yang terbentuk pada ketika ini adalah hasil persefahaman dan kerjasama antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
"Tiada tawaran...jika berlaku (gabungan untuk bentuk kerjasama) yes.. kalau tidak berlaku maka tiadalah.
"Ia bukan satu umpan atau imbuhan, bukan... sebab UMNO tidak boleh membentuk kerajaan bersendirian. Kita hanya 25 (ADUN) dan memerlukan lima lagi.
"Siapa lima itu yang datang untuk membantu tubuh kerajaan sudah tentu dia ada hak untuk menuntut, dia juga diberikan peluang bukan setakat menubuhkan kerajaan tetapi berada dalam Kabinet,"katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran anjuran UMNO Lenggong, di sini pada Sabtu.
Beliau yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-14 menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang berhubung pembentukan kerajaan sebelum ini dengan parti-parti lain.
"Sebelum ini (sebelum persetujuan sokongan) ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas bahawa mereka tidak mahu... kalau tidak mahu hanya tinggal UMNO dan Bersatu.
"Tapi sekarang terbukti bahawa kita balik kepada setiakawan penubuhan kerajaan bersama UMNO, Pas dan Bersatu.
"Tiada berjanji apa-apa pun. Itu terbuka. Akhirnya keputusan bersama ini kita terimalah,"katanya.
Semalam, DAP Perak mendakwa UMNO menawarkan jawatan Exco kerajaan negeri kepada Amanah dan PKR sekiranya dua parti tersebut sedia membentuk kerajaan bersama.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, tawaran itu dibuat bagi membentuk kerajaan bersama selepas Bersatu dan Pas tidak memberikan sebarang kata putus sebelum ini.
Beliau bagaimanapun berkata, tawaran tersebut tidak diterima oleh PH Perak kerana mengenepikan DAP sebagai salah sebuah parti gabungan.