Saarani dapat sokongan jadi Menteri Besar Perak yang baharu?
Astro Awani
Disember 6, 2020 18:17 MYT
Disember 6, 2020 18:17 MYT
IPOH: Sokongan terhadap Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk dilantik sebagai Menteri Besar baharu Perak dilihat semakin kukuh apabila jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang dipercayai menandatangani akuan bersumpah (SD) kini meningkat daripada 15 kepada 26 orang.
Lapor Sinar Harian yang memetik seorang ADUN UMNO yang enggan namanya disiarkan mengesahkan, setakat hari ini kesemua ADUN UMNO telah menandatangi SD sebagai menyatakan sokongan penuh kepada Saarani untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
Katanya, seorang ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bertindak keluar parti lamanya bagi menyokong pelantikan semula bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sewaktu 'Langkah Sheraton', pada Februari lalu, turut mengambil tindakan sama.
Katanya, UMNO hanya memerlukan sokongan empat lagi ADUN Bersatu termasuk Ahmad Faizal sendiri bagi membolehkan UMNO bergabung dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan baharu.
"Namun, baginda Tuanku Sultan Perak pastinya mahu kerajaan terbentuk lebih stabil. Atas sebab itu, Pas perlu segera membuat keputusan, sama ada menyokong kerajaan baharu diterajui UMNO atau tidak," katanya.
LAPOR LANGSUNG: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu politik
Sebelum ini akhbar tempatan melaporkan Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mendakwa seramai 15 ADUN UMNO telah menandatangani SD menyokong Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Jumaat lalu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.
Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.
Menurut Zainol Fadzi, teka-teka mengenai calon Menteri Besar bukanlah satu rahsia kerana sejak usul undi percaya dikemukakan, beberapa ADUN telah menandatangani SD tersebut dalam perjumpaan awal.
Selain Saarani, antara nama lain yang dikaitkan dengan jawatan nombor satu kerajaan negeri Perak itu adalah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN-Pangkor) dan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup).
Dalam pada itu, ADUN UMNO itu mendakwa, pendirian Pas yang dliihat sukar dijangka itu turut menguatkan lagi teori kemungkinan parti Melayu itu sukar menerima pelantikan pemimpin UMNO menggalas jawatan tertinggi di peringkat negeri dan negara.
Beliau berkata, mengambil kira situasi semasa, sekiranya Pas masih enggan berkompromi, berkemungkinan besar UMNO tidak akan menjalin kerjasama dengan parti itu lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
"Sekiranya berlaku penubuhan kerajaan campuran antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sekalipun, perjanjian kerjasama itu terhad sehingga PRU-15 sahaja. Sewaktu PRU-15 berlangsung, masing-masing akan bawa diri," katanya.
Ketika ditanya mengenai nasib Ahmad Faizal, ADUN UMNO itu yakin Ahli Parlimen Tambun itu akan ditawarkan jawatan menteri penuh di peringkat kerajaan Persekutuan memandangkan beliau adalah individu kedua penting dalam Bersatu.
#politik perak
#Pakatan Harapan
#Barisan Nasional
#PAS
#konflik politik
#kemelut politik
#Menteri Besar Perak
#Pengerusi UMNO Perak
#Datuk Saarani Mohamad
#SD