Saarani, ahli MKT UMNO mula hadir mesyuarat
Fareez Azman, Hasimi Muhamad
Disember 7, 2020 20:47 MYT
Disember 7, 2020 20:47 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mula tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) bagi menghadiri mesyuarat khas MKT, di sini malam ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang sebelum ini telah mengesahkan kehadirannya pada mesyuarat berkenaan, dilihat berada di perkarangan Menara Onn sekitar pukul 7.30 malam.
Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan antara nama yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Perak daripada UMNO bagi menggantikan ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Turut kelihatan tiba ahli MKT, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah selain Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
Hadir sama Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Datuk Jalaluddin Alias serta Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan baharu Perak.