RUU berkaitan hudud ditangguh kerana kesuntukan masa - Hadi Awang

T K Letchumy Tamboo
Mei 26, 2016 17:43 MYT
ABDUL HADI: Ini kali keempat saya kemukakan. Sejak 1995. Ini berkait dengan orang Islam sahaja. Tak ada hal dengan orang bukan Islam. -Gambar fail
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata beliau menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355- Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah, daripada dibahaskan di Dewan Rakyat kerana kesuntukan masa.
"Beri peluang masa kepada ahli-ahli (Parlimen). Hari ini dah nak habis dah," katanya semasa ditanya tentang sebab perbahasan RUU itu ditangguhkan.
Menurut Abdul Hadi, apa yang penting adalah kerajaan membenarkan RUU dibahaskan dan "yang keduanya akan datang."
Katanya lagi, usul ini berkaitan dengan usaha menaik taraf mahkamah syariah dan hanya melibatkan kalangan umat Islam.
"Ini usul berkait dengan menaikkan taraf mahkamah syariah. Baru dibentangkan.
"Ini kali keempat saya kemukakan. Sejak 1995. Ini berkait dengan orang Islam sahaja. Tak ada hal dengan orang bukan Islam," katanya.
RUU Persendirian itu, hari ini buat pertama kalinya dibenar untuk dibentangkan di sidang Dewan Rakyat, selepas ia dipercepatkan untuk dibahaskan.
Usul untuk mempercepatkan RUU itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina di bawah Peraturan Mesyuarat 14(2) supaya ia dapat dibentangkan di persidangan hari ini
Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan RUU dibentangkan selepas lebih suara Ahli-Ahli Parlimen bersetuju membahaskannya menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1).
Namun demikian, pembawa usul RUU tersebut, Abdul Hadi mengejutkan dewan persidangan memohon supaya usul itu ditangguhkan.
RUU Persendirian itu, hari ini muncul semula dalam kertas perintah Parlimen.
Hari ini merupakan hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.
RUU itu, disenaraikan sebagai agenda No 15, iaitu yang terakhir dalam kertas perintah Parlimen.
RUU itu pernah dicadangkan oleh Abdul Hadi pada 7 April dan 17 Jun 2015 di Dewan Rakyat tetapi ia tidak dibahaskan.
RUU itu bertujuan untuk meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, untuk pelaksanaan undang-undang hudud untuk orang beragama Islam di Kelantan dan negeri-negeri lain.
#Abdul Hadi #Dewan Rakyat #rang undang-undang hudud
;