RUU Antilompat Parti: Pindaan Perlembagaan Perkara 48 perlu jelas pentafsirannya - Pakar

Fareez Azman
April 11, 2022 12:45 MYT
Ketika ini hanya enam pentafsiran Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 48 perlu mendapat persetujuan secara konsensus oleh Ahli Dewan Rakyat sekiranya mahu Akta Antilompat Parti dilaksanakan.
Menurut Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, bagaimanapun Pindaan Perkara 48 itu memerlukan maksud yang jelas mengenai lompati parti sebelum ia dipinda.
"Pindaan Perkara 48 perlu mempunyai maksud jelas tentang lompat parti kalau mahu lompat parti dalam satu keadaan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh hilang kelayakan.
"Jadi perlu ada satu konsensus lompat parti, tapi dalam keadaan dimana pelbagai keadaan menyebabkan Ahli Parlimen lompat parti, jadi saya rasa ia perlukan masa bagi memberikan satu maksud lebih jelas," jelasnya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI Khas pada Isnin.
RUU Pindaan (no. 3) | Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan - UIAM
Ujarnya, penelitian ruang lingkup maksud lompat parti di bawah Perkara 48 itu perlu diperhalusi dan difahami oleh setiap Ahli Dewan Rakyat.
"Kalau lah maksud itu dapat dicapai secara konsensus dengan cepat, maka Perkara 48 boleh dipinda jika dibentangkan hari ini.
"Seperti disebut mengenai taat setia pada parti, itu salah satu elemen penting perlu ada pada Ahli Parlimen, maka jika beliau tidak taat setia kepada partinya maka ia akan hilang kelayakan.
"Itu saya rasa perlu ada pengakhiran dalam soal maksud dan ruang lingkupnya (Perkara 48)," katanya lagi.
Ujarnya lagi, ketika ini hanya enam pentafsiran Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Antaranya, tidak sempurna akal, diisytiharkan bankrap, dihukum penjara setahun dan denda RM2,000.
"Sebenarnya kalau dipinda Perkara 10 (Perlembagaan), yang terbaik meminda Perkara 48 juga. Iaitu Perkara 48 antara lain menyenaraikan perkara-perkara seorang Ahli Parlimen itu hilang kelayakan.
"Ada enam senarai diletakkan dalam Perkara 48 Fasal 1, jadi kalau Undang-Undang Antilompat Parti ini ingin disegerakan, maka Pindaan Perkara 10 sama dengan Perkara 48 ditambah dengan Fasal dibawah Perkara 48 seperti Perkara 49 A bagi menerangkan apa itu lompat parti dan sebagainya," ujarnya lagi.
#Dewan Rakyat #Pakar Perlembagaan #undang-undang #Akta Antilompat Parti #ahli Parlimen #ADUN #politik
;