RUU Antilompat Parti perlu diteliti secara mendalam - Takiyuddin

Bernama
Mac 27, 2022 22:52 MYT
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata hal ini kerana istilah 'lompat parti' itu sendiri kurang jelas selain terdapat beberapa perkara lain yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu diteliti secara mendalam terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa akan datang.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata hal ini kerana istilah 'lompat parti' itu sendiri kurang jelas selain terdapat beberapa perkara lain yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.
"Persoalannya adakah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dianggap sebagai ahli parti? Contohnya kalau dia nak masuk parti lain, adakah itu lompat parti?" katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Keluarga Kota Bharu di sini hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata undang-undang sama juga perlu dilaksanakan di peringkat negeri bagi memastikan ia berkuat kuasa terhadap ADUN.
Pada hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat iaitu 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu dewan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan diadakan dalam sidang khas Parlimen 11 April depan.
Wan Junaidi berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan melanjutkan persidangan khas tersebut sekiranya tempoh sehari bagi membincangkan rang undang-undang berkenaan tidak mencukupi.
-- BERNAMA
#RUU Antilompat Parti #anti lompat parti #Rang Undang-Undang #Takiyuddin Hassan
;