RUU Antilompat Parti: Muhyiddin tak setuju Ahli Parlimen dipecat perlu kosongkan kerusi

Ridauddin Daud
April 11, 2022 15:12 MYT
Muhyiddin menegaskan pindaan Perlembagaan berkaitan lompat parti mesti dilakukan dengan berhemah dan teliti. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju seorang Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti atau meninggalkan parti atas sebab-sebab tertentu perlu mengosongkan kerusinya.
Menurutnya, terdapat banyak sebab seseorang Ahli Parlimen meninggalkan parti seperti melanggar disiplin atau menyatakan sesuatu yang haq (kebenaran) namun tidak disenangi pemimpin parti.
Jelas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ada juga Ahli Parlimen meninggalkan parti kerana partinya telah lari dari landasan perjuangan serta memudaratkan rakyat dan negara.
“Kalau undang-undang (RUU Antilompat Parti) ini terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan adalah zalim.
“Maka pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang terkesan dalam undang-undang ini.
“Saya cadangkan supaya berikan ruang untuk Ahli Parlimen yang terkesan dengan RUU ini dapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya.
“Ini penting supaya mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya guna undang-undang lompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (no. 3) 2022 pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan pindaan Perlembagaan berkaitan lompat parti mesti dilakukan dengan berhemah dan teliti.
“Saya menyokong ia dibawa ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas,” ujarnya.
#Muhyiddin Yassin #Bersatu #lompat parti #dipecat #Dewan Rakyat #ahli Parlimen #RUU Antilompat Parti
;