RUU Antilompat Parti mampu selesaikan sebahagian polemik politik - Penganalisis

Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 29, 2022 16:16 MYT
RUU Antilompat Parti perlu dilihat secara lebih teliti terhadap beberapa masalah lain yang mungkin akan menimbulkan tanda tanya. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Undang-undang baharu Antilompat Parti yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Khamis bakal menyaksikan sebahagian polemik politik yang melanda sepanjang empat tahun kebelakangan ini dapat diselesaikan.
Menurut Penganalisis Politik Prof Wong Chin Huat, bagaimanapun ia perlu dilihat secara lebih teliti terhadap beberapa masalah lain yang mungkin akan menimbulkan tanda tanya.
Ini katanya termasuklah isu membabitkan mana-mana Ahli Parlimen yang berdepan dengan pemecatan oleh parti politik yang disertai mereka.
“Masih tertinggal dua bahagian yang belum disentuh iaitu bagaimana dengan Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti? Mereka kekal sebagai Ahli Parlimen dan juga Ahli Parlimen sesuatu parti yang melompat gabungan.
“Jadi ini dua yang belum selesai dan juga di peringkat yang lebih mendalam lagi kemungkinan pengundi tetap menyokong mereka yang melompat,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun beliau mengakui pindaan terhadap undang-undang membabitkan antilompat parti yang baharu diluluskan oleh Dewan Rakyat adalah mekanisme terbaik ketika ini bagi menjamin kestabilan politik negara.
Ia katanya lebih memberikan jaminan keabsahan kerajaan yang dibentuk bagi menentukan hala tuju negara yang memerlukan kestabilan politik.
Pada Khamis Dewan Rakyat mencatatkan satu lagi sejarah apabila meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.
BACA: RUU Antilompat Parti lulus, disokong lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.
#RUU Antilompat Parti #Dewan Rakyat #ismail sabri yaakob #Parlimen
;