RUU Anti Lompat Parti, had tempoh PM dibawa ke Parlimen sebelum Julai 2022

Harits Asyraf Hasnan
November 25, 2021 12:17 MYT
Kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-undang berkenaan Anti-Lompat Parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun sebelum Julai 2022. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-undang berkenaan Anti-Lompat Parti dan pengehadan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun sebelum Julai 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perundangan itu memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
"Perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti terutamanya parameter, kandungan dan implikasi Akta ini.
"Perkara ini sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Dalam pada itu, satu perjumpaan akan diadakan bersama Ketua Parti pada bulan Disember 2021 untuk mendapat pandangan berkaitan cadangan yang dikemukakan dan untuk memaklumkan pendirian kerajaan berkaitan undang-undang anti lompat parti," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata satu kajian soal selidik telah dibangunkan oleh BHEUU bagi mendapat pandangan dari ahli-ahli Parlimen dan orang awam berkaitan perundangan lompat parti.
Soal selidik tersebut boleh dijawab oleh orang awam dan ahli Parlimen mulai 23 November 2021 sehingga 7 Disember 2022.
Katanya, dapatan dari kajian tersebut boleh membantu dalam mendapat pandangan orang ramai dan ahli Parlimen sendiri berkaitan isu lompat parti.
"Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik telah diberi taklimat pada 24 November 2021 oleh Peguam Negara berkaitan perkara ini, satu kerangka RUU telah disediakan tetapi masih terdapat banyak persoalan-persoalan dasar yang tidak dapat dijawab.
"Oleh itu, satu Jawatankuasa Teknikal akan ditubuhkan dengan keahlian tiga orang dari pembangkang dan tiga orang dari kerajaan bagi meneliti persoalan-persoalan ini dan kerangka tersebut adalah berstatus embargo," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dan perkara-perkara yang dipersetujui antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.
Wan Junaidi pada masa sama mengulangi pendirian kerajaan supaya perkara berkaitan dengan Undi18 dan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dilaksanakan sebelum 31 Disember 2021 berdasarkan keputusan Jemaah Menteri selaras dengan keputusan kes Mahkamah Kuching.
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #anti lompat parti #Anwar Ibrahim #had tempoh PM
;