Rumah Terbuka PM: Bukan hanya agenda demi PRN, tetapi strategi penyatuan - Penganalisis

Madiha Abdullah
April 22, 2023 19:43 MYT
Perdana Menteri juga mungkin berhasrat menekankan Malaysia Madani dengan memanusiakan konsep dan prinsip tersebut. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 yang akan diadakan di tiga buah negeri di bawah pentadbiran pembangkang, dilihat mempunyai signifikannya tersendiri.
Penganalisis Politik, Prof Sivamurugan Pandian berkata, penganjuran itu tidak hanya kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang tetapi usaha ke arah membawa penyatuan biarpun berbeza idealogi politik.
"Kita lihat sepanjang Ramadan, perkarangan Seri Perdana sudah digunakan untuk menganjurkan aktiviti berbuka puasa. Bermakna mungkin selepas ini PM rasa perlu berada di beberapa buah negeri.
"Kalau kita tengok perubahan lanskap politik, barangkali boleh dikaitkan dengan PRN yang bakal berlaku, kerana kalau diperhatikan tarikh-tarikh yang dipilih sebelum konvensyen Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei mungkin ini menunjukkan satu kemuncak untuk memaparkan, dalam kita meraikan kepelbagaian ia tidak harus jadi penghalang.
"Walaupun berbeza idealogi politik tetapi kunjungan PM ini menunjukkan kita boleh mengetepikan perbezaan," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Fokus Minggu Depan, pada Sabtu.
Beliau mengulas penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Jelasnya, perdana menteri juga mungkin berhasrat menekankan Malaysia Madani dengan memanusiakan konsep dan prinsip tersebut.
"Ini hasrat PM, di mana nilai-nilai berteraskan penekanan ketamadunan mahu diangkat, konsep Madani yang beliau cuba dipaparkan mencari titik persamaan.
"Kita tak dapat lihat hasil segera tetapi saya percaya inilah fasa untuk memahamkan rakyat tentang Madani, dengan nilai konsep Rahmah supaya tidak ada sesiapa yang tercicir," katanya lagi.
Langkah itu juga, kata Sivamurugan, menjadi satu kaedah untuk mendekati rakyat dan membawa gagasan itu kepada rakyat.
"Pertemuan di beberapa negeri ini menjadi langkah ke arah nilai keamanan dan kesejahteraan untuk dipapar kepada semua.
"PM mahu menjadi contoh dan kita harap pasukan dalam Kabinet, membawa nilai yang sama supaya Madani akan mendapat hasil akhir yang baik.
"Ini bukan saja perwatakan PM sahaja, kena ada koordinasi, apa yang berlaku di peringkat Pusat, dibawa ke negeri.
"Negeri-negeri harus lihat ada keintiman walaupun di bawah pentadbiran pembangkang," jelasnya lagi.
#rumah terbuka #Aidilfitri #Anwar Ibrahim #pembangkang
;