Rumah Terbuka Malaysia Madani, Kelantan tiada halangan - Ahmad Yakob

Adam Darwish
April 23, 2023 16:28 MYT
Ahmad Yakob ditemui pada Rumah Terbuka Menteri Besar di rumahnya di Kampung Alor Pasir dekat Tumpat, hari ini. - Foto BERNAMA
TUMPAT: Kerajaan negeri Kelantan bersikap terbuka dengan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani yang bakal diadakan oleh Kerajaan Persekutuan di Kota Bharu pada 12 Mei depan, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Menurutnya walaupun kemungkinan penganjuran tersebut ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi namun menganggapnya sebagai kebersamaan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Ahmad Yakob berkata pihak kerajaan negeri memang menerima jemputan ke majlis tersebut dan sangat berbesar hati walaupun berlainan parti.
"Kita ada menerima surat mengenainya (Rumah Terbuka Malaysia Madani) dan kita tiada halangan.
"Kesemua urusan majlis dikendalikan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan kita menerimanya," katanya selepas ditemui pada Rumah Terbuka Menteri Besar di rumahnya di Kampung Alor Pasir dekat sini, hari ini.
Mengikut jadual, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani tersebut akan dijalankan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula dari pukul 7 malam hingga 10.30 malam dengan anggaran kehadiran 15,000 orang, selain dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
#Rumah Terbuka Malaysia Madani #MB Kelantan #Ahmad Yakob #Anwar Ibrahim
;