Rugi jika Parlimen Kimanis jatuh ke tangan pembangkang - Karim Bujang

Hasimi Muhamad
Januari 5, 2020 07:30 MYT
Karim (gambar) bakal berdepan calon BN, Datuk Mohamad Alamin dalam pertandingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen itu. - Astro AWANI
Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Karim Bujang optimis untuk memastikan beliau diberi mandat oleh rakyat, sekali gus memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini.
Selari dengan harapan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beliau mahu memastikan kawasan Parlimen itu terus mengecapi kemajuan demi manfaat rakyat.
Jelas Karim, adalah merugikan jika Parlimen Kimanis berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
"Kedua-dua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Membakut dan Bongowan itu, memang di pihak kerajaan (negeri).
"Jadi, adalah tidak begitu menguntungkan kalau Parlimen Kimanis ini jatuh kepada pihak pembangkang seperti yang lepas.
"Oleh itu, beliau (Mohd Shafie) berhasrat supaya kita dapat membangun dan berjalan seiring, memikirkan apa yang terbaik untuk penduduk di Parlimen Kimanis," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Mohd Shafie juga adalah Presiden Warisan.
Mengulas lanjut, kata Karim, antara fokus utama beliau adalah memastikan masalah pengangguran dalam kalangan belia di kawasan itu dapat dikurangkan.
"Cara untuk mengurangkan insiden kekurangan peluang pekerjaan ini ialah dengan membawa industri yang mempunyai impak yang tinggi dan memerlukan tenaga kerja yang diperlukan.
"Kalau ini kita dapat wujudkan, ia boleh menyelesaikan sedikit sebanyak masalah yang dihadapi oleh belia dari segi pengangguran," ujarnya.
Karim bakal berdepan dengan calon BN, Datuk Mohamad Alamin dalam pertandingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen itu.
Untuk rekod, daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis adalah seramai 29,664 pengundi mengikut data terkini.
#ADUN Bongowan #ADUN Membakut #Barisan Nasional #calon #industri #kemajuan #kerajaan #Kimanis Memilih #Mohd Shafie Apdal #Pakatan Harapan #pembangkang #pilihan raya kecil #PRK Kimanis
;