Royalti emas sedikit kerana hanya satu syarikat beroperasi - Mohd Amar

Bernama
November 4, 2015 02:37 MYT
Amar menjawab soalan mengapa jumlah royalti emas yang diterima sebanyak RM4.7 juta walaupun banyak lesen carigali, melombong dan penjelajahan telah dikeluarkan. - Gambar Fail
Royalti emas yang dibayar oleh syarikat carigali adalah sedikit kerana hanya sebuah syarikat yang beroperasi, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun 46 lesen pajakan melombong telah dikeluarkan sejak 2013, namun hanya sebuah syarikat beroperasi dan menjalankan aktiviti berkenaan di Sokor, Tanah Merah.
"Bukan semua pengusaha buat kerja ... ada yang ada lesen tapi tak melombong. Selain itu, royalti bagi hasil carigali juga belum mendapat sebarang hasil kerana masih di peringkat penjelajahan," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang bertanya mengapa jumlah royalti emas yang diterima sebanyak RM4.7 juta walaupun banyak lesen carigali, melombong dan penjelajahan telah dikeluarkan.
Kepada soalan Mohamad Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) yang ingin tahu jumlah lesen yang dikeluarkan, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 138 lesen bagi aktiviti carigali, penjelajahan dan pajakan melombong sejak 2013.
Beliau berkata 85 lesen dikeluarkan bagi aktiviti carigali, tujuh bagi aktiviti ekspedisi dan 46 bagi pajakan melombong.
#Adhan Kechik #Dewan Undangan Negeri #DUN #emas #Kelantan #Mohd Amar Nik Abdullah