ROS sepatutnya batalkan pendaftaran DAP - PAP
Astro Awani
Julai 8, 2017 14:36 MYT
Julai 8, 2017 14:36 MYT
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sepatutnya membatalkan sepenuhnya parti DAP dan bukannya sekadar mengarahkan ia mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).
Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Zulkifli Mohd Noor berkata, pembatalan itu perlu sebagai satu hukuman kepada parti itu yang didakwa telah melakukan banyak kesalahan dalam tempoh empat tahun selama kedudukan jawatankuasa CEC-nya tidak disahkan.
Beliau yang juga bekas naib pengerusi DAP Kebangsaan menyifatkan keputusan demikian sebagai tidak adil kepada ahli yang membuat aduan dan yang telah disingkirkan sebelum ini.
Tambahnya, kerajaan sepatutnya lebih tegas mengambil tindakan serta tidak perlu tunduk kepada DAP sedangkan pendaftaran UMNO juga pernah dibatalkan suatu ketika dahulu.
"Kami, PAP dan rakyat, mengharapkan pendaftarannya dibatalkan, bukan pemilihan semula.
"Seperti mana Lim Guan Eng bertanya, kenapa ROS ambil masa hingga empat tahun untuk mengarahkan pemilihan semula?
"Saya hendak katakan balik kepadanya, kenapa pemilihan semula, ia sepatutnya pembatalan pendaftaran.
"Lebih senang (kalau) kita batalkan dan buat permohonan semula. UMNO pun boleh buat permohonan semula, apa istimewanya DAP?" soal Zulkifli.
Tegasnya, DAP juga seharusnya mengambil tindakan disiplin terhadap mana- mana pihak termasuk Lim selaku Setiausaha Agungnya, yang didakwanya gagal mentadbir parti sehingga pemilihan semula Jawatankuasa CEC perlu diadakan.
Ia termasuk tidak membenarkan Lim bertanding semula jawatannya dalam pemilihan CEC akan datang jika parti itu bersetuju dengan arahan ROS.
"Ini menunjukkan kelemahan, ketidakadilan dan juga salah guna kuasa yang berlaku dalam parti DAP.
"Dia mesti bertanggungjawab atas kesalahannya dalam mengurus tiga pemilihan. Dan dia mesti dikenakan tindakan undang-undang.
"Mereka yang disingkir dan yang tarik diri, kerana bukan lagi ahli, mereka ini berhak untuk mengambil tindakan mahkamah atau undang-undang terhadap setiausaha agung parti dan Jawatankuasa CEC," katanya.
Sementara itu, nada sama juga disuarakan Naib Presiden PAP, Rahmad Isahak yang berkata, susulan arahan terbaru ROS, wakil rakyat DAP serta Kerajaan DAP di negeri itu perlu diletakkan sebagai wakil rakyat bebas sehingga pemilihan semula CEC dilakukan.
"Kesan daripada keputusan ROS, jelas menunjukkan bahawa sehingga pemilihan semula kali ketiga diadakan, sehingga kedudukan disahkan oleh ROS, kedudukan wakil rakyat Parlimen dan DUN dan parti DAP sepatutnya diletakkan sebagai wakil rakyat bebas.
"Justeru, bagi mengelak kekeliruan, khususnya terhadap rakyat, adalah bertepatan bahawa kerajaan negeri bukanlah diterajui oleh DAP," kata Rahmad.
Zulkifli dan Rahmad berkata demikian pada satu sidang media di Wisma PAP di Jelutong, Pulau Pinang pada Sabtu.
Pada Jumaat, ROS mengarahkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa CEC yang baharu.
Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, dalam satu kenyataan berkata, pemilihan semula CEC yang baharu itu perlu bagi membolehkan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC yang sah dan diiktiraf.
#DAP
#Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
#Jawatankuasa CEC
#PAP
#Parti Alternatif Rakyat
#pemilihan semula
#ros
#Zulkifli Mohd Noor