RoS akan teliti gabungan pembangkang - TPM Zahid

Raffi Bachik
Julai 15, 2017 20:55 MYT
Ahmad Zahid berkata berkata, secara peribadi beliau sendiri mengikuti secara dekat perkembangan pembentukan hierarki dalam struktur organisasi Pakatan Harapan. - Gambar fail
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) akan meneliti sama ada pakatan pembangkang memenuhi peraturan Akta 1966 untuk berdaftar sebagai sebuah entiti gabungan parti politik.
Ia susulan perkembangan hierarki struktur organisasi gabungan parti pembangkang yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau berkata, secara peribadi beliau sendiri mengikuti secara dekat perkembangan pembentukan hierarki dalam struktur organisasi Pakatan Harapan itu.
Jelasnya, Pakatan Harapan tentunya akan membuat permohonan kepada pihak RoS untuk mendaftarkan pertubuhan mereka sebagai sebuah entiti politik yang sah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seterusnya meletakkan calon atas lambang yang sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 akan datang.
BACA: Anwar Ketua Umum, Mahathir Pengerusi, Wan Azizah Presiden Pakatan Harapan
“Saya akan meminta supaya RoS bertindak secara profesional untuk meneliti butiran dan perincian terhadap pemohonan mereka, sama ada kesepakatan organisasi politik mereka mempunyai komitmen untuk memenuhi peraturan ditetapkan oleh Akta Pertubuhan 1966 sebagai sebuah entiti gabungan parti politik atau sebaliknya.
“Namun tindakan profesional RoS ini tentunya akan mengikut perundangan yang ada. Tentu juga RoS akan meneliti perlembagaan parti berkenaan termasuk saya menjangkakan RoS akan bertanya siapakah akan menjadi pemimpin utama Pakatan Harapan ini yang bergabung dalam satu entiti politik yang baru,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Ledang di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), di sini petang tadi.
Mengulas tindakan Pakatan Harapan yang mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) sebagai Ketua Umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) sebagai Presiden dan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai Timbalan Presiden, Ahmad Zahid berkata, mustahil untuk sebuah kapal dikemudi oleh tiga nakhoda dan menjangkakan ianya bakal tenggelam sekiranya keputusan itu kekal.
#Ahmad Zahid Hamidi #Anwar Ibrahim #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #PKR #PRU #TPM #UMNO #Wan Azizah
;