Rombongan UMNO meriahkan Muktamar Pas
Sinar Harian
September 15, 2018 10:20 MYT
September 15, 2018 10:20 MYT
Pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Muktamar Pas Pusat ke-64 yang berlangsung hari ini.
Ahmad Zahid yang tiba jam 8.36 pagi disambut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan; Bendahari Dewan Ulamak, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dan beberapa jawatankuasa Wanita UMNO yang hadir lebih awal turut menyambut ketibaan Ahmad Zahid.
Turut kelihatan hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Pimpinan MIC turut hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany AJK Pusat, Datuk Seri M Saravanan.
Sebelumnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba jam 8.15 pagi di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dengan diiringi konvoi bermotosikal memeriksa perbarisan kehormat Jabatan Amal.
Beliau kemudiannya bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan beberapa pimpinan tertinggi Pas Pusat diarak masuk ke stadium oleh bentara tepat jam 9 pagi.