Rombakan MT UMNO: Ahmad Maslan pegang portfolio Informasi, IT
Harits Asyraf Hasnan
Januari 29, 2016 18:54 MYT
Januari 29, 2016 18:54 MYT
Datuk Ahmad Maslan yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO kini dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan memegang portfolio Pengerusi Biro Informasi dan Teknologi (IT).
Jawatan tersebut kini digantikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Ahli MT sebelum ini.
Perkara tersebut diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang turut mengumumkan beberapa rombakan lain dalam pentadbiran UMNO Pusat.
"Saya telah mengumumkan beberapa penyusunan semula dalam struktur Majlis Tertinggi," kata Najib dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Biro Kebajikan UMNO pula bertukar portfolio kepada Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian UMNO.
Portfolio yang dipegang Azeez sebelum ini kini digantikan Ahli Parlimen Lenggong yang juga Ahli MT, Datuk Shamsul Annuar Nasarah.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Ekonomi yang sebelum ini disandang Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kini diisi oleh Datuk Johari Abdul Ghani.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula dilantik sebagai Pengerusi Biro UMNO Luar Negara dan Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Biro IPTS.
#Abdul Azeez Rahim
#Annuar Musa
#Datuk Ahmad Maslan
#Ketua Penerangan UMNO
#MT UMNO
#Najib Tun Razak
#Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian UMNO
#UMNO